comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN: Agihan kerusi sama rata, yakin ‘sapu bersih’ DUN Negeri Sembilan – Jalaluddin

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KAJANG: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan optimis permintaan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tambahan bagi parti komponen berkenaan bertanding menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), akan dipersetujui Majlis Presiden.

Keyakinan itu dinyatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias setelah mengambil kira rasional dan justifikasi permintaan tersebut yang disuarakannya kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Keputusan akhir (permintaan ini) dibuat oleh Majlis Presiden. Saya percaya dalam tempoh terdekat, sebelum raya haji akan diputuskan. Kita (BN) minta 18 kerusi, saya yakin Majlis Presiden akan memberi persetujuan.

“Ini untuk kebaikan dan semangat kerjasama BN dan PH, kita bertolak ansur. Saya berpandangan dengan 18-18 (18 kerusi PH, 18 kerusi BN), kita akan skor (menang) 36-0 di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah LLM dan melakukan lawatan sulung ke Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM, di sini hari ini.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), PH menawan 20 kerusi, manakala BN menang 16 kerusi DUN.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, pihaknya juga ada memberi beberapa keutamaan di kawasan yang perlu dimohon, antaranya di kawasan Parlimen yang tidak mempunyai wakil BN.

“Ini adalah rasional kita minta supaya ditambah satu lagi kerusi agar diberi peluang kepada BN di (Parlimen) Seremban dan ini justifikasi yang telah saya beri kepada pimpinan PH. Saya yakin bahawa pimpinan PH terutama Majlis Presiden akan ambil serius dan ambil kira justifikasi yang telah saya berikan kepada mereka,” katanya.

Difahamkan, satu lagi kerusi DUN yang dimohon adalah di dalam Parlimen Jelebu.

Sementara itu, menurut Jalaluddin, pelancaran jentera PH dan BN akan diputuskan dalam masa terdekat.

Ujarnya, beberapa segmen telah pun dikenal pasti supaya pergerakan kempen dan jentera lebih tersusun serta bersistem, sekali gus memberikan keyakinan kepda rakyat terutama golongan muda.

“Ini adalah satu pendekatan dan penjelasan supaya tidak disalah anggap atau disalah guna oleh pihak lain untuk menjadikan ia satu perkara yang tidak baik. Saya yakin (menang) apabila adanya persefahaman kerjasama PH dan BN, selain saya lihat perkembangan politik terkini di Negeri Sembilan setelah saya turun di 16 DUN (penyandang BN) dan beri penjelasan serta lancar jentera DUN BN.

“BN akan kekal kesemua kerusi yang ditandingi dan saya yakin PH akan kekal kerusi, bermakna tiada ruang untuk pembangkang,” katanya.

DUN Negeri Sembilan akan dibubarkan pada hujung bulan ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Loading...
Terkini