comscore
Tumpuan :
Nasional

Program sukarelawan Sahabat Maktab terima sambutan menggalakkan

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: Seakan meneruskan tradisi keluarga, tiga adik-beradik yang hadir ke Makkah sebagai Dhuyufurrahman turut memilih untuk menyertai program Sahabat Maktab anjuran Lembaga Tabung Haji di Tanah Suci.

Muhammad Muazul Amin Mohd Adlan, 27 tahun berkata dia bersama dua kakaknya sangat teruja untuk turun padang membantu jemaah.

Apatah lagi ibunya sebelum ini juga pernah menjadi Sahabat Maktab dan sering menguar-uarkan tentang program sukarelawan itu.

“Emak saya yang menunaikan haji pada 2008 menjadi Sahabat Maktab, begitu juga kakak dan abang ipar saya serta bapa saudara saya.” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program Sahabat Maktab di Makkah.

Muazul (3 dari kiri) bersama-sama kakak-kakaknya

Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ini menunaikan haji bersama kakak-kakaknya Alia Raihan 31 tahun dan Fairuz Khalili, 27 yang turut ditemani suami masing-masing.

Sebelum ini ibunya Norazwana Mat Yusop pernah menyertai program ini pada tahun 2008, diikuti bapa dan ibu saudaranya pada tahun 2017 dan yang terbaharu seorang lagi kakaknya, Ain Adilah, 32 tahun pada tahun 2019.

Sambutan menggalakkan ini turut disahkan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman ketika melancarkan program itu di Makkah, baru-baru ini.

Katanya, permohohan untuk menyertai program ini meningkat dua kali ganda berbanding jumlah Sahabat Maktab yang diperlukan.

“Saya amat bangga dengan kesungguhan dan sikap kesukarelawanan ingin membantu yang ditunjukkan jemaah haji Malaysia pada tahun ini, begitu ramai yang ingin menjadi Sahabat Maktab.

Bagaimanapun kita mempunyai had dari segi jumlah dan memilih kriteria tertentu,” katanya.

Menurut Datuk Seri Syed Saleh, seramai 315 jemaah telah dipilih menyertai program itu tahun ini yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Medik dan Sahabat Ibadah.

Katanya gabungan antara Sahabat Maktab mampu memastikan kebajikan serta pergerakan jemaah lebih teratur terutama ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Menurut Datuk Seri Syed Saleh, individu yang menjadi sukarelawan program itu dipilih berdasarkan kategori tertentu termasuk muda, bertenaga, sihat dan mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.

Loading...
Terkini