comscore
Tumpuan :
Nasional

Rampas 34,000 Liter Diesel Bersubsidi Cuba Diseleweng

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak merampas 34,000 liter diesel bersubsidi yang cuba diseleweng dalam satu serbuan di stor penyimpanan bahan api itu di Jalan Pengkalan Baru, Off Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, di sini, hari ini.

Serbuan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sarawak itu dilancarkan hasil maklumat orang awam serta risikan selama dua minggu di lokasi tersorok di kawasan rumah lama.

Pengarah KPDNHEP Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, dua lelaki tempatan berusia 23 dan 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori tangki turut ditahan dalam serbuan pada 5.30 pagi itu.

Beliau berkata, diesel yang ditemui itu bernilai RM73,100 dan sebuah kenderaan iaitu lori tangki, tangki IBC serta pam penyedut minyak dirampas dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM163,800.

“Siasatan awal mengenal pasti kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi itu dijalankan oleh sindiket terbabit sejak lebih dua bulan lalu.

“Kami sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sumber sindiket itu mendapatkan diesel berkenaan serta di mana mereka menjualnya,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan hari ini.

Matthew berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan oleh pengawal bekalan.

“Sabitkan kesalahan, jika pesalah itu adalah pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua.

“Jika pesalah itu bukan satu pertubuhan perbadanan, dia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 1 Januari hingga 17 Oktober tahun ini, KPDNHEP Sarawak menghasilkan sebanyak 148 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sejumlah 1.3 juta liter minyak diesel dirampas sepanjang tempoh itu dengan nilai rampasan sebanyak RM5.8 juta manakala nilai kompaun yang dibayar sebanyak RM339,800 bagi 44 kes yang sudah selesai,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberi jaminan bekalan ayam dan telur ayam di pasaran Sarawak adalah stabil dan terkawal sempena perayaan Deepavali yang akan disambut tidak lama lagi. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini