comscore
Tumpuan :
Nasional

Raymond Goh bak permata dalam bidang penyampaian berita – Ras Adiba

KUALA LUMPUR: Bekas penyampai berita TV3, Datuk Ras Adiba Radzi menyifatkan pemergian sahabatnya, Allahyarham Raymond Goh sebagai permata hebat dalam bidang penyampaian berita.

Beliau berkata Raymond seorang sahabat yang sangat baik, periang dan sememangnya suka memberi nasihat kepada orang ramai.

Artikel berkaitan: Allahyarham seorang yang sangat baik – rakan Raymond Goh

Bagaimanapun, Ras Adiba meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menziarahi arwah ketika hayatnya.

Allahyarham Raymond atau nama sebenarnya, Muhammad Zaman Goh Abdullah antara penyampai berita Nightline di TV3.

“Hari ini begitu sedih buat kami dalam kalangan ‘batch’ pertama penyampai berita di TV3. Sebelum ini, saya sudah kehilangan sahabat lain seperti Robert Lam, Mahadzir Lokman, Amin Mahir dan sekarang, arwah Raymond.

“Semasa mendapat perkhabaran arwah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) memang sangat mengejutkan kami. Bagaimanapun, saya bersyukur berpeluang menziarahi arwah,” katanya.

Artikel berkaitan: Raymond Goh masih dirawat di hospital – Isteri 

Menurut Ras Adiba, dia bersahabat dengan Allahyarham Raymond sejak tahun 1986.

Ujarnya beliau yang sering digandingkan dengan arwah dalam projek-projek video korporat sering mengingati kata-kata motivasi diberikan sahabatnya itu.

“Jadi, pemergiannya adalah kehilangan besar kerana saya sudah mengenalinya lebih 37 tahun. Ini sangat sukar buat kami,” katanya.

Artikel berkaitan: Anwar ucap takziah kepada keluarga Raymond Goh

Penyampai berita bersuara emas itu dilaporkan meninggal dunia di Petaling Jaya, Selangor dan berita pemergiannya diumumkan keluarga arwah melalui satu kenyataan.

Artikel berkaitan: Raymond Goh meninggal dunia

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail selepas solat Asar tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Raymond Goh sebelum ini dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke hospital di Petaling Jaya, 30 Ogos lalu.

Allahyarham berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan seorang jurulatih untuk pengucapan.

Loading...
Terkini