comscore
Tumpuan :
Nasional

Rombakan Kabinet tepat masa, wujud pentadbiran efisien untuk rakyat

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Penganalisis politik berpandangan rombakan Kabinet yang dilaksanakan semalam adalah tepat pada masanya dalam usaha mewujudkan pentadbiran yang efisien dan kompeten untuk rakyat.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, rombakan yang menyaksikan pelantikan baharu dan pertukaran portfolio itu mengambil kira kepakaran serta pengalaman pemimpin politik berkenaan.

“Kita tidak boleh mencari kesempurnaan dalam setiap era pentadbiran tetapi usaha untuk mencapai ke arah berkenaan perlu diberi sokongan oleh semua pihak,” katanya yang dihubungi Buletin TV3 hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membuat rombakan Kabinet yang pertama selepas setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, dengan jumlah keseluruhan menteri dan timbalan menteri meningkat daripada 55 orang kepada 60 orang.

Bilangan ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 orang kepada 31 orang, manakala jumlah timbalan menteri meningkat daripada 27 orang kepada 29 orang.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan itu masih rendah berbanding  70 orang barisan Kabinet ketika pentadbiran sebelum ini.

Mengulas mengenai saiz Kabinet yang dilihat lebih besar berbanding sebelum ini, Dr Mohammad Tawfik menjelaskan, pertambahan kementerian bukan perkara yang pelik dalam mana-mana kepimpinan kerajaan.

Beliau yakin tindakan Perdana Menteri adalah berdasarkan keperluan dan kemampuan kewangan semasa negara.

“Saya sebenarnya agak gembira dengan berita rombakan dan perubahan yang dilakukan Anwar apabila membawa masuk bekas menteri dan tokoh yang berwibawa untuk menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali

Nada sama turut disuarakan penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali yang menyifatkan rombakan ini akan memandu Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Apatah lagi dengan pelantikan pemimpin yang tidak asing dalam pentadbiran negara seperti bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi serta bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang kembali memegang portfolio terbabit.

“Dengan strategi Anwar menampilkan bekas menteri yang berpengalaman dan menukar beberapa menteri dan timbalan menteri akan membuka ruang kepada bentuk pentadbiran yang lebih fokus.

“Saya tidak fikir ia boleh menjejaskan sistem pentadbiran sedia ada kerana polisi kerajaan masih kekal dan tidak akan membawa perubahan yang ketara terhadap dasar sedia ada dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Mohd Azamanizam Baharon

Sementara itu, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Mohd Azamanizam Baharon menyokong kewujudan Kementerian Digital yang khusus kepada industri digital.

Ujarnya, ia akan memberi impak besar kepada iklim ekonomi digital termasuk mewujudkan banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, selain menjana pendapatan golongan peniaga di semua peringkat mikro, kecil dan sederhana.

“PERDASAMA akan menyokong segala usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama terutama syarikat teknologi dan serba maju. Ini membuktikan kepercayaan syarikat asing akan keupayaan dan kebolehan rakyat dan tenaga kerja Malaysia yang sangat berdaya saing dan kompeten,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini