comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah ketatkan pemeriksaan pengembara dari China mulai 8 Januari

Foto: Datuk Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan semua pengembara dari China yang tiba di negeri ini perlu lengkap vaksinasi dan menunjukkan keputusan negatif ujian COVID-19 yang dibuat sebelum berlepas dari negara berkenaan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata ujian itu sama ada menggunakan kaedah RT-PCR atau RTK Ag Professional perlu dibuat dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.

Katanya, prosedur itu dikuatkuasakan mulai 8 Januari ini dalam usaha mengekang peningkatan semula kes COVID-19 di negeri ini.

“Ketika ketibaan, semua pengembara dari luar negara dikehendaki untuk menjalani saringan suhu (thermal scanner). Pengembara yang dikesan demam akan menjalani pemeriksaan lanjut.

“Pengembara yang mempunyai gejala COVID-19 wajib menjalani ujian RTK Antigen. Ketetapan ini berkuatkuasa mulai 8 Januari 2023,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, langkah pengurusan pengembara dari luar negara itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet negeri Sabah, hari ini.

Sementara itu, Sabah hari ini merekodkan sebanyak 12 kes baharu COVID-19, turun lima kes berbanding 17 kes yang dilaporkan semalam.

“Tujuh daerah mencatatkan jangkitan baharu iaitu Tuaran (empat kes), Kota Kinabalu (dua kes), Penampang (dua kes) dan masing-masing satu kes di Beaufort, Kota Marudu, Tambunan dan Tenom. Sebanyak 20 daerah lagi tidak merekodkan sebarang kes baharu sepanjang 24 jam yang lalu,” katanya.

Katanya, daripada 12 kes yang dilaporkan hari ini, 10 kes adalah dalam Kategori 2, manakala masing-masing satu kes dalam Kategori 3 dan Kategori 4.

Masidi berkata, ketika ini seramai 138 pesakit COVID-19 sedang menerima rawatan iaitu 137 orang di hospital seluruh negeri selain seorang di fasiliti swasta.

Daripada jumlah itu, katanya 10 pesakit memerlukan penjagaan kritikal ialah tujuh orang di unit rawatan rapi (ICU) atau repurposed critikal care, manakala tiga orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Loading...
Terkini