comscore
Tumpuan :
Sukan

Datuk Ong Kim Swee akui jentera serangan tumpul

Antara asakan bertali arus  Sabah FC yang dijana  Ketua pasukan Park Tae Soo, turut dibantu Darren Lok dan Dominic Tan. – Foto: Sabah FC / Facebook

KOTA KINABALU:  Walaupun berjaya menundukkan kelab Singapura, Hougang United FC 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan H di Stadium Likas malam semalam, pengendali Sabah FC mengakui banyak yang perlu diperbaiki.

“Kita perlu perbaiki terutama dari segi penyudah dan ini penting jika kita ingin layak ke peringkat seterusnya,” kata Kim Swee merujuk kepada deretan peluang yang gagal dimanfaatkan anak-anak buahnya.

Bagaimanapun bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu tetap ceria dengan penampilan keseluruhan Sabah FC.

“Ini satu permulaan yang positif di mana kita tahu dengan keadaan cuaca atau padang yang tidak begitu baik, kita mampu mendapatkan keputusan yang kita inginkan.”

Tambah Kim Swee, keadaan padang yang licin turut mempengaruhi rentak permainan kedua-dua pasukan dan merencatkan perancangan pasukannya dalam usaha menepati sasaran setiap kali mempunyai peluang dan cubaan untuk menjaringkan gol.

Sabah FC akan berkunjung ke Indonesia 5 Oktober ini untuk perlawanana kedua  menentang PSM Makassar.- – Foto: Sabah FC / Facebook

“Namun kita berjaya mendapatkan dua gol melalui ‘set piece’ dan juga semangat juang yang tinggi ditunjukkan pemain selepas kita dibolosi.” ujar Kim Swee.

Pada aksi semalam Sabah FC mendahului menerusi Gabriel Peres seawal minit kelima, disusuli dua lagi gol menerusi ledakan penyerang kebangsaan,  Darren Lok pada minit ke-38 dan 62, manakala gol tunggal Hougang dijaringkan Takayama Kazuma.

Sementara itu, ketua jurulatih Hougang United FC Marko Kraljevic, menyifatkan keadaan cuaca dan padang ketika perlawanan dalam suasana hujan lebat itu memberi kelebihan kepada pemain Sabah.

Kraljevic yang pernah  menyarung jersi Kelantan dalam Liga Malaysia  musim 1991-1994, mengakui, pemainnya tidak memiliki keupayaan fizikal seperti dimiliki pemain tuan rumah terutama dalam berdepan perlawanan yang mencabar akibat cuaca yang tidak mengizinkan.

“Pemain Sabah memang sudah biasa dengan keadaan ini… bola tinggi, bola jauh atau apa sekalipun, itu memang kelebihan mereka, mereka mendominasi di sini dan keadaan cuaca (hujan) ini memang sesuai dengan mereka,” katanya

Pada aksi kedua Kumpulan H, Sabah FC akan berdepan kelab Indonesia, PSM Makassar 5 Oktober ini manakala Hougang FC menanti kunjungan Hai Phong dari Vietnam.

Hai Phong yang beraksi di arena sendiri semalam menewaskan PSM Makassar 3-0.

Loading...
Terkini