comscore
Tumpuan :
Nasional

Saifuddin nafi 1.2 juta warga asing dari China tinggal secara tak sah

Kementerian Pelancongan merekodkan hanya terdapat 1.4 juta pelancong China ke Malaysia tahun lalu. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan terdapat 1.2 juta warga asing dari China tinggal secara tidak sah di negara ini.

Beliau berkata dakwaan dibuat oleh Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) itu jauh tersasar dan tidak sepatutnya dipertahankan.

“Kenyataan 1.2 juta orang China masuk, tak keluar (itu) cukuplah. Itu dakwaan yang tersasar sama sekali, tak boleh dipertahankan berdasarkan kepada fakta dan angka yang saya bentangkan,” katanya semasa ucapan penggulungan ucapan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata, warga asing yang tinggal di negara ini adalah pemegang pas jangka panjang.

“Mereka adalah warga asing pemegang pas jangka panjang. Memang dia tinggal sini, dia tidak balik sampai pas jangka panjang dia tamat. Boleh jadi tiga tahun, boleh jadi lima tahun.”

“Ada juga warga asing yang masuk, kemudian terlebih tinggal tetapi kita buka Program Rekalibrasi, mereka daftar. Jumlahnya ini lebih kurang satu juta. Pas jangka panjang lebih kurang 2.6 juta,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan warga asing yang ada di negara ini melibatkan pelbagai jenis pas.

“Pas ini termasuklah Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Lawatan Sosial Suami Isteri kepada Warganegara, Pas Diplomat, Pas Pelajar, Pas Residen, Pas Penggajian, Pas MM2H (Malaysia Rumah Kedua Ku) dan banyak lagi pas. Selama mereka memegang pas ini, ada tempoh mereka dibenarkan tinggal, jadi rekod mereka tak keluar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini