comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Siti Nuramira mengaku salah tanggal baju kurung dan tudung di pentas komedi

Siti Nuramira mengaku salah kerana menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan

KUALA LUMPUR: Siti Nuramira Abdullah, wanita tular di media sosial kerana menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi dijatuhi hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim, N Priscilla Hemamalini, membuat keputusan itu selepas Siti Nuramira, 27, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan.

Tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pilihan, wanita berkenaan dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan menyebut dirinya seorang Muslim, menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudian bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung sewaktu persembahan atas pentas.

Dia melakukan kesalahan itu di Restoran Crack House Comedy Club, Tingkat 1, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail, Brickfields, 4 Jun 2022, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pada 13 Julai 2022, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) KK iaitu perbuatan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama antara orang yang menganut agama sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi daripada Siti Nuramira yang difailkan, 16 Mac lalu.

“Untuk maklumat mahkamah, representasi berkenaan diterima. Oleh itu, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 298 KK,” katanya.

 

 

 

 

Loading...
Terkini