comscore
Tumpuan :
Nasional

Solat jenazah pendaki Malaysia diadakan hari ini – ACM

PETALING JAYA: Jenazah pendaki Malaysia, Zulkifli Yusuf yang meninggal dunia ketika ekspedisi pendakian di Gunung Denali, Alaska akan dikafan dan disolatkan hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Pegawai Komunikasi Alpine Club Malaysia (ACM), Ayob Yahaya dalam kenyataan media sebentar tadi.

“Proses kafan dan solat jenazah dengan kerjasama Islamic Community Center Anchorage dijadualkan pada pukul 1.30pm hari Khamis 6 Jun 2024 (waktu tempatan).

“Wakil pihak Konsulat General Malaysia akan berada di Anchorage Alaska untuk membantu pengurusan bawa balik jenazah,” jelasnya.

Tambah Ayob, ketika ini jenazah masih ditempatkan di rumah mayat di hospital Anchorage.

Proses membawa pulang jenazah ke Malaysia katanya lagi masih dijalankan sebelum dibenarkan pihak berkuasa tempatan.

“Jadual penerbangan pulang dijangka dalam masa sehari dua selepas selesai semua dokumen dan solat jenazah.

“Kami akan maklumkan butiran penerbangan yang membawa jenazah Allahyarham Zulkifli Yusuf setelah mendapat ketetapan dari pihak berkenaan,” ujarnya.

Sebelum ini, Allahyarham Zulkifli,37, dilaporkan meninggal dunia ketika ekspedisi pendakian di Gunung Denali, Alaska.

ACM mengesahkan, jenazah yang terkandas selama tiga hari di gunung terbabit berjaya dibawa turun dari lokasi kejadian pada 8.30 pagi, 1 Jun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini