comscore
Tumpuan :
Nasional

SSR beras dipertingkat kepada 75 peratus pada 2025

Foto hiasan

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Kadar sara diri (SSR) beras negara akan dipertingkatkan kepada 75 peratus menjelang 2025.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, ia menerusi inisiatif SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Di bawah inisiatif itu, produktiviti padi akan dipertingkat menerusi Model Mini Sekinchan dan projek rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.

“Matlamat pelaksanaan Program SMART SBB adalah untuk mencapai SSR beras negara kepada 75 peratus menjelang tahun 2025 dan 80 peratus menjelang tahun 2030”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam bin Mohd Isa yang mahu tahu jenis tanaman serta ternakan yang sedang diberikan tumpuan bagi menambah baik Tahap Sara Diri sekaligus meningkatkan keterjaminan dan mengurangkan kebergantungan import makanan.

Sementara itu, SSR bagi bekalan lapan komoditi makanan utama negara pada 2022 seperti beras mencatatkan 62.6 peratus, sayur 44.7 peratus, buah-buahan 78.1 peratus, daging lembu 14.7 peratus dan daging ayam serta itik 94.4 peratus.

Berkenaan usaha untuk meluaskan penanaman padi di Sabah pula, beliau berkata, setakat ini langkah yang dilaksanakan kementerian itu menunjukkan hasil memberangsangkan, dan pihaknya yakin dapat mencapai sehingga 80 peratus sasaran dalam tempoh terdekat ini.

Kementerian juga akan memperkasakan pembabitan golongan muda dalam sektor pertanian menerusi Program Agropreneur Muda.

Program itu membantu dan menggalakkan pembabitan golongan muda antaranya dengan memberikan bantuan dalam bentuk barangan bernilai RM20,000 bagi setiap individu.

“Seramai 96 orang penternak muda menerima bantuan bernilai RM1.92 juta pada 2021, manakala 77 orang mendapat bantuan berjumlah RM1.54 juta tahun lalu”, katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini