comscore
Tumpuan :
Nasional

Suri rumah mengaku tidak bersalah guna ‘lambang Datuk’ tak diiktiraf

Suri rumah, Suraya Ibrahim, 57, diiringi polis selepas menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. – Foto pembaca

KOTA BHARU: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan lambang bertulis ahli-ahli Dato’-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim yang tidak wujud dan tidak diiktiraf pada dua keretanya.

Bagaimanapun tertuduh Suraya Ibrahim, 57, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Tertuduh didakwa menggunakan lambang bertulis ahli-ahli Dato’-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim yang tidak wujud dan tidak diiktiraf mengikut Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (mencegah daripada disalahguna) 1977 (Kelantan Enakmen Bil 8/ 1977) dengan meletakkan pada dua kereta yang digunakan iaitu Mercedez Benz dan BMW.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Bawah Lembah Bunut Payong di sini, pada 25 Jun 2022.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5B(5) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Disalahguna) 1977 (Kelantan Enakmen Bil 8/1977) yang boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 dan di penjarakan selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Yusoff Abdullah.

Terdahulu, Abu Arsalnaa mencadangkan jumlah jaminan RM70,000 bagi pertuduhan itu.

Muhammad Yusoff memohon mahkamah membenarkan jaminan paling minimum kerana anak guamnya tidak bekerja, mempunyai penyakit darah tinggi kronik, selain sudah berpisah dengan suami.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes serta untuk serahan dokumen.

Loading...
Terkini