comscore
Tumpuan :
Nasional

Suspek kes tembakan di KLIA, dibawa ke IPK Shah Alam 

SUBANG: Lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di Sepang pada awal pagi kelmarin, tiba di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Suspek yang berusia 38 tahun, yang memakai baju lokap berwarna ungu, diiringi beberapa anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) tiba jam 2.15 petang dengan menaiki pesawat King Air B300 milik PDRM dari Kota Bharu, Kelantan.

Difahamkan, suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Turut kelihatan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Dalam insiden kira-kira jam 1.20 pagi kelmarin, suspek didakwa melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di tempat kejadian.

Bagaimanapun, tembakan itu terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi.

Selepas 36 jam melarikan diri, suspek ditahan kira-kira jam 3 petang semalam di hadapan sebuah hospital swasta di Jalan Bayam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9), JSJ Kontinjen Kelantan.

Ketika ditahan, menurut sumber, suspek seorang diri dan berlaku pergelutan, selain polis turut merampas sepucuk pistol daripada lelaki itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini