comscore
Tumpuan :
Nasional

Syor tambah baik pusat tahanan akan dibawa ke KDN

Oleh: Hilmi Abdul Malik

BIDOR: Jabatan Imigresen (JIM) akan mengesyorkan cadangan untuk menambah baik Depot Imigresen Sementara Bidor sebaik sahaja siasatan selesai melibatkan kes lebih 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang meloloskan diri Rabu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, bagaimanapun segala keputusan akan terletak sepenuhnya kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Apabila selesai siasatan kita akan angkat syor cadangan tambah baik kepada KDN.

“Saya akan bawa perbincangan bersama pihak pengurusan tertinggi apakah hala tujunya sama ada untuk tambah baik fasiliti atau tindakan lain.

“Itu semua bergantung kepada kepada keputusan yang akan dibuat pihak KDN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir melawat Depot Imigresen Sementara Bidor malam ini.

Mengulas lanjut, operasi pencarian membabitkan baki 126 PATI yang masih menghilangkan diri akan tetap diteruskan.

Rabu lalu, seramai 131 PATI dilaporkan telah meloloskan diri daripada pusat tahanan berkenaan selepas bertindak memecah dan memotong pagar depot berkenaan.

Setakat petang Khamis, seramai lima tahanan telah berjaya diberkas semula dan angka itu dijangka terus bertambah.

Ketika kejadian, pusat tahanan berkenaan menempatkan seramai 566 PATI yang sebahagian besar terdiri daripada etnik Rohingya.

Operasi pencarian turut melibatkan beberapa agensi antaranya, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Anjing Pengesan (K9), serta pemantauan menerusi unit udara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini