comscore
Tumpuan :
Nasional

Telefon bimbit Bella disorok di rumah salah seorang suspek – Kakak Bella

Mila Sharmila Samsusah atau Bella yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember 2023.

BATU PAHAT: Telefon bimbit milik Mila Sharmila Samsusah, 36, atau Bella wanita yang dikaitkan dengan penemuan rangka di rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah telah dijumpai semula selepas pihak berkuasa menggeledah rumah salah seorang suspek, beberapa hari lalu.

Penemuan ‘bukti berharga’ itu sedikit sebanyak melegakan keluarga Bella, apa tah lagi selepas mereka dimaklumkan bahawa suspek tidak tahu kata laluan (password) telefon bimbit itu.

Menurut kakaknya, Norhisham, 36, telefon jenis iPhone itu disorokkan oleh suspek dipercayai untuk dijual kemudiannya.

Beliau yakin perkembangan itu dapat memberi maklumat tambahan kepada pihak berkuasa dalam merungkai kes itu.

“Mungkin kalau dia tahu dia dah reset (padam) habis..dan mungkin suspek simpan bila agaknya kes dah reda nak jual ‘body lock’ iPhone,” katanya dalam coretan terbaharu di Facebook.

Norhisham yang lebih mesra dengan panggilan Ayu juga memberitahu, dia cuba bertanyakan rakan Bella sama ada mengetahui kata laluan telefon itu.

Katanya, rakan Bella memberitahu, adiknya tidak pernah mendedahkan atau berkongsi kata laluan kepada sesiapa pun.

Norhisham Samsusah ketika ditemu ramah pada 20 Januari lalu.

“Tapi saya dan anak-anak memang tahu ‘password’…kalau jumpa telefon dia, anak-anak saya buat main ‘games’, edit gambar…Allah sedihnya…Bella memang rapat dengan anak-anak saya. Dia seorang penyayang, masa hari terakhir chat (mesej), dia memang minta nak jaga budak-budak sempena cuti sekolah ni,” tulisnya.

Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu dan kehilangannya masih belum terjawap sepenuhnya.

Setakat ini, tiga orang suspek termasuk bekas teman lelaki Bella dan bapa saudara kepada teman lelakinya itu ditahan pihak polis susulan kehilangan Bella.

Mengikut laporan, salah seorang suspek itu sendiri yang menunjukkan kepada pihak polis tempat Bella disembunyikan.

Identiti sebenar rangka itu hanya boleh disahkan selepas selesai proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Suspek usia 24 hingga 39 tahun direman sehingga 27 Januari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini