comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada kes, bermakna undang-undang meningkatkan kesedaran rakyat – Timbalan MB Kelantan

KUALA LUMPUR: Ketiadaan individu yang didakwa mengikut 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan bukan bermakna undang-undang itu tidak diperlukan untuk dilaksanakan di negeri itu.

Jelas Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, undang-undang berkenaan masih diperlukan sebagai usaha pencegahan bukan hanya hukuman semata-mata.

 

Tegasnya, ketiadaan pertuduhan di bawah perundangan syariah yang berkuat kuasa November 2021 bukan bermaksud pelanggaran atau jenayah tidak berlaku.

“Saya dimaklumkan Hakim Mahkamah Syariah tiada kes pendakwaan dibuat sepanjang ia berkuatkuasa, namun undang-undang mesti ada untuk mengekang kesalahan daripada berlaku.

“Jika tiada kes sekalipun, itu bermakna undang-undang itu meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat menyebabkan mereka tidak melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya laporan yang menyatakan tiada individu didakwa mengikut 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan, minggu lalu.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan membatal 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan atas alasan melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal kesalahan jenayah, yang berada dalam undang-undang persekutuan.

Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan berkata ketiadaan pendakwaan juga mungkin ada kesalahan tetapi masih dalam siasatan oleh Jabatan Agama Islam Negeri, atau diselesaikan melalui peraturan lain termasuk dikenakan denda atau kes belum di bawa ke peringkat perbicaraan.

Katanya, perlu diingat bawah pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dilaksanakan pada 2019 dan hanya diwartakan untuk penguatkuasaan pada 2021.

Justeru, katanya dalam tempoh dua tahun itu kerana adanya pindaan yang mana proses pelaksanaan mengambil sedikit masa, yang ada kemungkinan menyebabkan wujud ketiadaan kes pendakwaan.

“Seperti saya maklumkan tadi, ia bukan bermakna tiada kesalahan tetapi ia masih belum dibawa untuk pendakwaan atau mungkin sudah ada kes pendakwaan di peringkat mahkamah sivil,” katanya.

Beliau menegaskan, sebelum ini pelaksanaan enakmen berkenaan di Kelantan dikuatkuasa secara harmoni antara perundangan sivil dan syariah.

Katanya, apa yang berlaku pada 2019, Kerajaan Negeri meminda enakmen berkenaan sebagai penambahan dan penegasan saja, yang menyebabkan ada pihak yang mencabarnya dengan membawa kes ke Mahkamah Persekutuan.

“Sebelum ini enakmen ini sudah dapat dilaksanakan dan diselesai dengan baik mengikut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, menegaskan tidak menolak kemungkinan kewujudan undang-undang itu menyebabkan orang ramai sedar adanya hukuman mengikut enakmen yang mencegah mereka melanggar undang-undang berkenaan.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan digubal pada 1993, dan proses pindaan untuk memasukkan kesalahan jenayah di dalam bermula pada 2014 dan siap sepenuhnya pada 2019.

Kemudiannya enakmen itu mendapat kelulusan kuasa legislatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 2019 dan disiarkan dalam warta melalui perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada 31 Disember 2020 dan berkuat kuasa pada 1 November 2021.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini