comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga lagi tahanan berjaya ditangkap

TAPAH: Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh mengesahkan tiga lagi tahanan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, di sini, pada malam kelmarin berjaya ditahan.

Dua tahanan terbabit ditahan orang awam ketika meminta air di Masjid Batu Melintang sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Terbaharu, kita dapat satu maklumat bahawa satu lagi tangkapan tahanan dibuat di Kampung Orang Asli Sementa dalam radius 12 kilometer.

“Tahanan terbabit dipercayai mulai keluar disebabkan keperluan untuk mendapatkan makanan dan minuman,” katanya pada sidang media di perkarangan Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, di sini.

Ruslin berkata, setakat ini seramai 10 tahanan berjaya ditangkap dan ia menunjukkan perkembangan yang baik dan operasi akan diteruskan sehingga tahanan berjaya ditangkap sepenuhnya.

“Hari ini saya hendak umum secara rasminya penutupan depoh berkenaan sepenuhnya dan tiada lagi tahanan di depoh terbabit.

“Penghantaran keluar tahanan sudah dilakukan berakhir sehingga 11 malam tadi ke Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, membabitkan seramai 100 tahanan wanita,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memgenal pasti kawasan atau tempat tahanan yang melarikan untuk mendapatkan bekalan makanan selepas masuk hari ketiga mereka melarikan diri.

“Berkemungkinan tahanan terbabit sudah agak letih dan di sini orang awam perlu memainkan peranan dalam usaha menangkap saki baki tahanan terbabit,” katanya.

Kelmarin, seramai 131 tahanan pendatang asing tanpa izin (Pati) melarikan diri dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor.

Mereka terdiri daripada 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang Bangladesh.

Manakala, seorang daripada tahanan itu dilaporkan maut dalam kemalangan di Kilometer 335 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bidor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini