comscore
Tumpuan :
Nasional

{KEMAS KINI} Tragedi Ittifaqiyah : Lelaki bunuh 23 penghuni tahfiz kekal di penjara, seorang lagi dilepas dan dibebaskan

 

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, memutuskan seorang lelaki kekal di penjara selama tempoh diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, atas sabitan kesalahan membunuh 23 penghuni tahfiz dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, enam tahun lalu.

Keputusan dibuat sebulat suara panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun.

Tertuduh yang berusia 16 tahun ketika kejadian, tidak berdepan hukuman mati kerana pesalah di bawah umur 18 tahun.

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah selepas tragedi kebakaran – FOTO: NSTP

Pada 11 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, berhujah kebakaran itu pasti berpunca lebih daripada seorang pelaku kerana adalah mustahil untuk seorang remaja mengangkat dua tong gas seberat 28 kilogram sekali gus.

Beliau berkata, sebuah tong gas terbabit diletakkan secara menegak dan sebuah lagi melintang sebelum petrol disimbah serta pemetik api dinyalakan di depan pintu.

Peguam, Haijan Omar yang mewakili lelaki terbabit pula dilaporkan berhujah bahawa tiada saksi memberi keterangan remaja itu membakar sekolah berkenaan, sambil menambah pihak pendakwaan hanya bergantung pada keterangan mengikut keadaan untuk menyokong kes mereka.

Pada 17 Ogos 2020, lelaki berusia 22 tahun itu disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan membunuh sebelum diperintahkan supaya ditahan di penjara selama tempoh diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Pihak pendakwaan memanggil seramai 71 saksi, manakala enam saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Mei 2018.

Dalam kejadian menyayat hati pada 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu terkorban selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat tiga asrama pusat berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini, antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi 14 September 2017.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 97(2) akta sama.

Sementara itu, mahkamah sama mengekalkan keputusan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun dilepas dan dibebaskan daripada 23 pertuduhan membunuh penghuni pusat tahfiz berkenaan.

Panel hakim menolak rayuan pendakwaan selepas Mahkamah Tinggi sebelum ini melepas dan membebaskan perayu kedua itu daripada kesemua pertuduhan membunuh.

Ketika membaca penghakimannya, Hakim Che Mohd Ruzima berkata, pihaknya sebulat suara memutuskan tiada sebab mengubah keputusan hakim Mahkamah Tinggi untuk membebaskan perayu kedua.

“Rayuan pendakwa raya seharusnya ditolak, keputusan hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya.

 

Loading...
Terkini