comscore
Tumpuan :
Nasional

Tren LRT ‘keluar api’, hanya kerja-kerja penyelenggaraan

Tangkap layar video tular

Oleh : Salina Zakaria

KUALA LUMPUR : Orang ramai tidak perlu risau terhadap dakwaan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Taman Melati ke Wangsa Maju, mengalami kebakaran susulan video yang memaparkan gerabak tren itu mengalami percikan api, pada awal pagi.

Pengendali perkhidmatan LRT, MRT dan monorel Rapid KL, Rapid Rail Sdn Bhd ketika dihubungi memaklumkan pada waktu berkenaan pihaknya sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan biasa sebagaimana dijadualkan.

“Kebiasaannya pada waktu berkenaan kerja-kerja penyelenggaraan landasan LRT seperti aktiviti pencanaian dengan penggunaan jentera khas dijalankan bermula 12.30 pagi hingga 4.30 pagi,”

Semasa kerja-kerja pencanaian, penghasilan percikan api yang seperti di dalam video tu adalah perkara yang normal dan tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam. Proses pencanaian ini adalah penting bagi memastikan keadaan permukaaan landasan sentiasa di dalam keadaan terbaik untuk operasi tren harian.

Semua aktiviti penyelenggaraan tren dan landasan mematuhi standard piawaian kejuruteraan dan keselamatan yang telah ditetapkan.

“Manakala pengoperasian perkhidmatan tren dihentikan sehingga jam 12 tengah malam”, menurut kenyataan itu.

Justeru orang ramai diminta tidak mewar-warkan perkara yang tidak sahih dan menyebarkan perkara berkenaan dimedia sosial.

Pada video berdurasi kira-kira 38 saat di media sosial Tik Tok seorang pengguna berkongsikan sebuah video memaparkan tren LRT dengan tajuk LRT Taman Melati ke Wangsa Maju keluar api.

Video turut ditonton lebih 600 ribu pengguna media sosial itu sekaligus menimbulkan kegusaran awam.

“Rapid KL sentiasa mahu memastikan keselamatan orang awam menjadi keutamaan”,

“Justeru, kerja-kerja penyelenggaraan tren dilakukan pada setiap hari bagi mengurangkan sebarang risiko kerosakan pada perkhidmatan awam itu “, kata kenyataan itu lagi.

Loading...
Terkini