comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tuduhan dana judi: Saya tak beri kenyataan jika tiada asas – Anwar

Oleh : Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin membaca dengan lengkap kenyataannya berhubung dana judi, yang didakwa melibatkan Perikatan Nasional (PN) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan jika ia tidak mempunyai asas.

Dalam masa sama, beliau enggan membuat sebarang permohonan maaf seperti yang dituntut oleh bekas Perdana Menteri itu.

“Baca kenyataan dengan lengkap dan baru ambil tindakan. Tetapi kalau dia (Muhyiddin) nak bawa terus (ke mahkamah), silakan.

“Saya tidak akan keluarkan kenyataan kalau saya tidak ada asas.” katanya ketika ditemui media, selepas berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Datuk Seri Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah, siasatan terhadap dakwaan dana tersebut masih lagi berjalan melibatkan pelbagai agensi.

“Ia banyak ada agensi dan siasatan bila dah ada bukti, baru lah disebarkan atau diambil tindakan mengikut (perundangan).” tambah Perdana Menteri.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin memberitahu akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil langkah seterusnya terhadap kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi PN itu juga meminta agar Perdana Menteri membuat permohonan maaf, sebelum beliau mempertimbangkan untuk sebarang tindakan lanjut.

Semalam, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said menafikan memberi kenyataan bahawa apa jua siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan itu dihenti ataupun digugurkan. 

Sebaliknya, apa yang dinyatakan Azalina kepada Dewan Rakyat adalah maklumat mengenai dakwaan itu masih bersifat umum, justeru SPRM tidak membuka kertas siasatan setakat ini. 

Beliau memaklumkan siasatan akan dijalankan termasuk membuka fail berdasar akta suruhanjaya pencegahan rasuah atau mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa.

Siasatan itu jelasnya berdasarkan maklumat dan juga bukti yang diperolehi dari semasa ke semasa.

Justeru, Azalina menegaskan kenyataannya tidak wajar dipolitikkan atau diguna untuk membuat tuduhan tidak berasas terhadap Datuk Seri Anwar.

Loading...
Terkini