comscore
Tumpuan :
Politik

Akta Antilompat Parti Berkuat Kuasa Mulai Esok

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 [Akta A1663] berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuat kuasa mulai esok setelah Yang di-Pertuan Agong memperkenan tarikh kuat kuasa akta berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663.

“Dengan penetapan tarikh baharu kuat kuasa bagi Akta A1663 mulai 5 Oktober 2022, maka pindaan bagi seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan Fasal
baharu 3A Perkara 10 serta Perkara baharu 49A, dapat dikuatkuasakan dengan segera.

“Ini seterusnya membenarkan pemakaian Akta A1663 ini di peringkat negeri, tertakluk perkenan Sultan / Tuan Yang Terutama / Raja Negeri berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akta A1663 diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu iaitu 209 Ahli Dewan Rakyat dan di Dewan Negara pada 9 Ogos lalu dengan sokongan majoriti seramai 52 Senator.

Datuk Seri Wan Junaidi berkata, Akta A1663 telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos lalu dan telah diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 September lalu.

“Kerajaan komited memastikan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang digubal dapat melindungi hak rakyat negara ini yang telah memberi kepercayaan tinggi kepada Ahli Dewan Rakyat yang dipilih ketika proses pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, dalam warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara menetapkan 5 Oktober ini sebagai tarikh akta terbabit mula berkuat kuasa kecuali seksyen 6 Akta A1663.

Seksyen 6 Akta A1663 berhubung pindaan Jadual Kelapan, iaitu peruntukan larangan lompat parti membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Semalam, Datuk Seri Wan Junaidi dilapor berkata, kerajaan memberi jaminan akta berkenaan akan dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Akta tersebut memperuntukkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti, baik dalam gabungan sama atau berbeza akan kehilangan kerusi Parlimen disandang.

Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politik selepas menang pilihan raya untuk menjadi wakil rakyat Bebas juga perlu mengosongkan kerusi disandang.

Ia turut memperuntukkan beberapa pengecualian kepada wakil rakyat yang bertukar parti, antaranya Ahli Dewan Rakyat dipecat daripada partinya tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen disandang.

Pengecualian turut diberikan kepada mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Loading...
Terkini