comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Anwar nasihat Hadi akur arahan Sultan, pihak berkuasa agama

 

PUTRAJAYA: Penceramah dan ahli politik perlu akur kepada arahan sultan dan pihak berkuasa agama negeri yang melarang mana-mana pihak menggunakan masjid untuk menyampaikan ceramah berbaur politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, ia bukan hanya terpakai kepada mana-mana penceramah dan tokoh agama, malah juga merangkumi Perdana Menteri dan Menteri Besar.

“Kes di Terengganu, Selangor itu adalah soal kebenaran (ceramah) di masjid. Ini yang terpakai untuk semua termasuk Perdana Menteri. Umpamanya kalau saya memilih untuk bersyarah di masjid harus ada kebenaran (tauliah) kerana ia kuasa agama di negeri itu… raja-raja.

“Kebetulan orang itu ustaz, tapi kuliahnya politik, yang dilarang Sultan dan majlis agama itu adalah kuliah politik oleh orang politik ini termasuk Perdana Menteri.

“Apa rasional dibuat kerajaan negeri ini kerana terlalu banyak adegan (ceramah) soal agama yang terlalu keras jalur politik kepartiannya,” katanya ditemui media selepas hadir pada Majlis Perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.

Sebaliknya, menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), itu adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.

Mengulas lanjut Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) setuju supaya masjid terus diimarahkan dengan program serta pengisian ilmu yang membawa manfaat kepada ummah.

Namun katanya, batas mesti dijaga bagi mengelak rumah ibadah itu menjadi medan pihak tertentu untuk menyuburkan agenda politiknya.

“Semalam di depan tuanku Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) pada majlis agama Islam, didalam ucapan saya sebut kepada tuanku bahawa masjid boleh diamarahkan tapi tidak dibenarkan menjadi kuliah politik.

“Di Perak sendiri, Menteri Besar maklumkan beliau pun tak dibenarkan berucap di masjid. Malah, didepan tuanku Sultan Selangor, tuanku membuat keputusan itu sebelum menemui saya (maknanya) bukan berunding dengan saya,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Abdul Hadi mengenai Kerajaan Perpaduan akan jatuh, Anwar menjelaskan itu hanya naratif yang dibawa Ahli Parlimen Marang itu saja.

“Dalam kenyataan dia (Abdul Hadi), harus jaga supaya tidak menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu dan berbicara Perlembagaan juga ada kaedahnya,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini