comscore
Tumpuan :
Politik

EXCO Pulau Pinang angkat sumpah Rabu, BN kembali selepas 15 tahun?

 

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Sebaik selesai dengan urusan angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang, tumpuan kini terarah kepada pemilihan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang dijadualkan mengangkat sumpah pada Rabu depan.

Pemakluman majlis angkat sumpah itu dibuat oleh Pejabat Ketua Menteri selepas Istiadat Angkat Sumpah Ketua Menteri, pagi tadi.

Semalam, Chow berkata keputusan berhubung barisan Exco baharu akan dilakukan selepas rundingan dengan semua pihak berkaitan.

“Exco akan dibentuk selepas Ketua Menteri angkat sumpah. Kita akan ada perbincangan dalam PH dan (gabungan) perpaduan untuk menentukan barisan Exco yang akan dipilih,” katanya selepas ucapan pengisytiharan kemenangan, di sini, semalam.

Gabungan PH-BN telah membentuk kerajaan negeri dengan memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri semalam.

Dalam PH, DAP telah memenangi ke semua 19 kerusi yang ditandingi, manakala PKR menyumbang tujuh kerusi dari 13 kerusi ditandingi, dan Amanah pula menang satu daripada dua kerusi.

Sementara itu, BN telah merampas kembali dua kerusi, iaitu DUN Bertam dan Sungai Acheh.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican menang dengan majoriti 2,321 undi mengatasi penyandang, Khaliq Mehtab dari Bersatu.

Manakala, Rashidi Zainol menang tipis dengan 124 undi, menewaskan penyandangnya, Zulkifli Ibrahim dari Bersatu.

Barisan Exco baharu dijangka menterjemahkan semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, yang bermakna BN hampir pasti menyertai kerajaan negeri.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pihaknya meminta Kerajaan Negeri baru yang dibentuk mempunyai wakil BN atas dasar inklusif dan semangat setiakawan.

“Saya telah memaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meminta Kerajaan Negeri baru mempertimbangkan jawatan yang sesuai kepada wakil rakyat BN bagi memastikan kami dapat terus berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan.

“Perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan sebelum keputusan dibuat,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Sekiranya permintaan itu ditunaikan, BN akan kembali menyertai kerajaan negeri selepas berada di blok pembangkang selama 15 tahun.

Namun, belum pasti sama ada BN akan ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri yang sebelum ini diperuntukkan kepada PKR dan komuniti India.

Loading...
Terkini