comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Jalaluddin antara enam muka baharu EXCO Negeri Sembilan angkat sumpah

KUALA PILAH: Sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan bagi penggal ke-15 mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini.

Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan itu bermula jam 10.15 pagi di Istana Besar Seri Menanti.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan senarai EXCO yang telah mendapat perkenan Tuanku Muhriz, membabitkan enam muka baharu dan empat ADUN dilantik kembali ke jawatan itu.

EXCO baharu itu adalah Datuk Seri Jalaluddin Alias (Exco Kanan), Noorzunita Begum Mohd Ibrahim, Datuk Ismail Lasim, Mustapha Nagoor, Datuk Mohd Faizal Ramli dan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Sementara EXCO yang dilantik semula ialah Teo Kok Seong, Nicole Tan, J Arul Kumar dan S Veerapan.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat 31 kerusi iaitu 17 kerusi PH dan 14 kerusi BN, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi pada PRN Negeri Sembilan, 12 Ogos lalu.

Loading...
Terkini