comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sayap PKR perlu kekalkan idealisme parti untuk kembalikan sokongan orang muda – Rafizi

Oleh: Fahiz Ariff

PUTRAJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan untuk kekal memperjuangkan idealisme perjuangan parti.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, ia penting kerana cabaran didepani  kini berbeza terutama dalam mengembalikan sokongan golongan muda kepada kerajaan.

“Cabaran saudara saudari ialah golongan muda era ini baik lelaki dan wanita yang kesedaran politiknya datang dari rasa tidak puas hati.

“Dalam keadaan mana-mana kerajaan di dunia sekarang berdepan cabaran perubahan itu, yang menjadi pembangkang akan mendapat kelebihan kerana apa yang pembangkang perlu lakukan hanya mengapi-apikan rasa tidak puas hati,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Tambah Rafizi, satu-satunya usaha yang boleh membantu sayap parti menjadi penggerak dan pemimpin yang berkesan adalah menerusi idealisme.

Tegasnya, hanya idealisme berupaya menguatkan azam untuk terus membina kekuatan, menyantuni rakyat, membawa idea baharu yang kreatif dan terus memastikan pergerakan sayap berkenaan menjadi tonggak kekuatan kepada parti.

“Kalau idealismenya adalah mengenai pangkat, kedudukan, kerjaya, jawatan, berapa kerat sangat yang akan mendapat peluang ini dan kalau mendapat peluang itu, berapa kerat sangat boleh tahan dan boleh memikul cabaran yang diutamakan ini.

“Ini kerana kita bukan lagi di zaman dahulu, kalau zaman dahulu ada jawatan kerajaan, maknanya kaya raya, zaman sekarang kalau ada jawatan kerajaan, kalau salah sikit, bukan sahaja pihak berkuasa akan menangkap, parti akan buang,” katanya.

Terdahulu, Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan mengangkat tema “Memaknai Reformasi, Menjulang MADANI”.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dijadual menyampaikan ucapan dasar pada jam 8.30 malam ini sekali gus merasmikan Kongres Nasional peringkat pusat parti itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini