HOME / Politik

Taruhan PN Lantik Wanita Jadi Ketua Menteri Tidak Menjadi

KUALA LUMPUR: Tawaran Perikatan Nasional (PN) untuk melantik wanita sebagai Ketua Menteri, ternyata belum mampu memikat pengundi Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) atau memberi mandat kepada gabungan parti itu untuk memerintah negeri.

Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, 45, yang menjadi taruhan PN kecundang dalam persaingan tiga penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara apabila Ahli Parlimen Masjid Tanah itu kekurangan 364 undi berbanding Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang julung kali bertanding mewakili Barisan Nasional (BN), memperoleh 3,559 undi.

Ab Rauf yang juga Pengerusi UMNO Melaka berjaya mengatasi Mas Ermieyati merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang memperoleh 3195 undi.

Ini kali pertama seorang wanita dan ‘muka baharu” yang dipertaruhkan sebagai calon ketua menteri dalam pilihan raya negeri kali ini.

Selain Mas Ermieyati, dua lagi taruhan calon Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN) dan Naib Presiden Amanah Nasional, Adly Zahari yang merupakan calon dari PH, turut menang mudah di kerusi masing-masing.

Sulaiman memenangi kerusi DUN Lendu dengan majoriti undi 4,486, manakala Adly mengekalkan kerusi DUN Bukit Katil dengan undi majoriti 1,057. 

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali melihat kemenangan Sulaiman mampu meneruskan kembali kestabilan politik di negeri itu.

Pengalaman dan kematangan Sulaiman mentadbir Melaka sebelum ini membuktikan beliau layak dipilih sekali lagi untuk mengemudi negeri bersejarah itu, katanya.

“Bagaimanapun beliau (Sulaiman) mungkin kena belajar daripada kesilapan dan pengalaman yang lepas supaya politik di Melaka semakin matang serta tidak hilang fokus dengan kuasa sebaliknya mementingkan kepentingan rakyat,” katanya kepada Bernama.

Sulaiman dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Istana Melaka, awal pagi ini. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Jamaie Hamil berkata kemenangan Adly adalah disebabkan pesona dan latar belakang bekas ketua menteri itu yang lebih disenangi oleh penduduk setempat.

Menurut Jamaie aura Adly sendiri yang telah dikenali oleh penduduk Melaka dilihat menjadi faktor beliau memenangi kerusi DUN Bukit Katil, selain dibantu rakan dalam PH seperti DAP dalam kempen pilihan raya.

Menyentuh mengenai kekalahan Mas Ermieyati di DUN Tanjung Bidara pula, Jamaie berkata perkara itu telah dijangka memandangkan kawasan itu merupakan kubu kuat BN.

Jelasnya, walaupun Mas Ermieyati pernah menjadi tokoh kuat di Melaka, namun kemenangan beliau sebelum ini adalah atas tiket BN sebelum beralih kepada Bersatu dan tindakan itu kurang disenangi penduduk setempat. – BERNAMA