comscore
Tumpuan :
Sukan

Aaron-Wooi Yik Sedia Galas Beban Status Juara Dunia

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Setiap kejohanan yang bakal disertai selepas ini pasti menjadi lebih sukar buat juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik namun mereka menegaskan sudah bersedia untuk menghadapi cabaran berkenaan.

Aaron berkata, dia dapat menjangkakan ‘perjalanan’ mereka di masa akan datang tentunya ‘diintai’ pihak lawan yang mahu mencari titik kelemahan mereka dan bermula sekarang, mereka harus mempersiapkan diri.

“Saya fikir di masa depan, ia akan menjadi lebih sengit kerana apabila menjadi juara, semua orang akan menganalisis permainan kamu dan kamu perlu lebih bersedia dengan gandingan sedang meningkat naik kerana mereka pasti akan melihat kamu. Oleh itu, kami perlu bersiap sedia untuk semua kejohanan,” kata Aaron.

Semalam, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah paling bermakna buat negara apabila menamatkan penantian gelaran dunia sulung Malaysia di pentas Kejohanan Dunia selepas menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.

Kejayaan di bumi Tokyo, Jepun itu juga secara tidak langsung menamatkan kemarau gelaran yang dialami mereka sejak mula digandingkan bersama pada 2017.

“Walaupun kami sudah dapat gelaran juara dunia tetapi apa yang boleh dikatakan, kami mempunyai lebih tekanan untuk mencipta keputusan lebih baik untuk diri sendiri. Apapun, kami akan terus fokus dengan apa yang kami lakukan serta apa sasaran seterusnya buat kami,” kata Aaron.

Sementara itu, Aaron berkata, mereka masih belum pasti beraksi di Terbuka Jepun yang dijadual membuka tirainya esok namun sekiranya menyertainya, momentum kejayaan di Kejohanan Dunia pasti akan dibawa ke Osaka nanti.

“Belum pasti (sertai Terbuka Jepun). Tengok keadaan dulu. Setiap kejohanan masih penting tak kiralah kejohanan dunia, 1000 ataupun 750 sekali pun, semua kejohanan ini amat penting buat kami,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini