comscore
Tumpuan :
Sukan

Semalam Rexy, hari ini giliran pemain minta maaf

KUALA LUMPUR: Selepas Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky membuat permohonan maaf, hari ini pemain tampil membuat permohonan maaf di atas kegagalan mereka di PETRONAS Terbuka Malaysia 2024.

Antara yang membuat permohonan maaf secara terbuka itu adalah pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dan pemain beregu campuran, Chen Tang Jie.

Ng Tze Yong menarik diri pada pusingan pertama menentang pemain Jepun, Koki Watanabe ekoran kecederaan otot tulang belakang yang dialaminya.

“Saya ingin meminta maaf kepada semua peminat dan penaja disebabkan keputusan tidak memuaskan di Terbuka Malaysia. Saya akan terus memberi fokus kepada proses pemulihan dan memberikan persembahan lebih baik untuk kejohanan seterusnya,” tulis Tze Yong di instagram miliknya.

Tze Yong juga terlepas aksi di Terbuka India yang bermula Selasa ini dan Masters Indonesia dari 23 hingga 28 Januari akibat kecederaannya.

Dalam pada itu Tang Jie menerusi laman Facebooknya memohon maaf kerana tidak dapat memberikan prestasi yang baik di Terbuka Malaysia.

“Saya turut memohon maaf kepada semua pihak penaja, dan juga kepada peminat badminton Malaysia. Saya berjanji untuk terus berjuang dan menyajikan persembahan yang lebih baik pada kejohanan seterusnya. Terima kasih kepada semua,” katanya.

Tang Jie yang bergandingan dengan Toh Ee Wei terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 22-24, 14-21.

Loading...
Terkini