comscore
Tumpuan :
Sukan

Croatia atau Maghribi siapa pilihan pemenang tempat ke-3?

 

Foto: AFP

DOHA: Debaran kemuncak Piala Dunia Qatar 2022 semakin dirasai seluruh peminat bola sepak global ketika ini.

Croatia dan Maghribi akan turun untuk penentuan aksi tempat ke-3 jam 11 malam ini di Stadium Antarabangsa Khalifa, sebelum aksi final edisi ke-22 menemukan juara bertahan Perancis dan juara dua kali Argentina jam 11 malam esok.

Croatia dan Maghribi hanya pernah bertemu dua kali sebelum ini, termasuk di peringkat kumpulan F Piala Dunia Qatar dengan menyaksikan perlawanan terikat tanpa jaringan.

Foto: AFP

Dan satu-satunya pertemuan mereka sebelum Piala Dunia ialah pada 1996 iaitu ketika aksi separuh akhir Piala Antarabangsa Raja Hassan II, yang berkesudahan dengan keputusan seri dua sama sebelum Croatia menang 7-6 menerusi penentuan sepakan penalti.

“The Vatreni” juga pernah beraksi dalam penentuan tempat ketiga sebelum ini pada Piala Dunia 1998 menewaskan Belanda 2-1.

“Secara realistiknya, sebelum kejohanan bermula, kami semua sudah pasti akan layak ke separuh akhir. Namun, kami mula bermimpi tentang trofi itu.

Foto: AFP

“Namun, kami akan memberikan segala yang kami ada pada Sabtu dan cuba memenangi pingat gangsa,” kata pemain tengah Croatia, Lovro Majer.

Di kem Maghribi pula, skuad kendalian Walid Regragui tidak pernah melepaskan sebarang gol hasil jaringan pemain lawan hingga kekalahan di peringkat separuh akhir kepada juara bertahan Piala Dunia, Perancis, 2-0.

Namun, menjelang penentuan tempat ketiga, “The Atlas Lions”, berdepan masalah kekurangan pemain pertahanan selepas kehilangan Romain Saiss, Nayef Aguerd dan Noussair Mazraoui akibat kecederaan ketika aksi separuh akhir.

Foto: AFP

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar pada tahap mental. Saya akan memberi peluang kepada mereka yang tidak bermain dengan misi cuba merangkul tempat ketiga.

“Perkara yang penting kami mempersembahkan penampilan yang baik kepada pasukan kami dan bola sepak di Maghribi tidak jauh dari tahap tertinggi,” kata Regragui.

Siapa yang bakal bergelar pemenang tempat ketiga Piala Dunia Qatar 2022, Croatia atau Maghribi sama-sama kita nantikan jam 11 malam ini.

Foto: AFP
Loading...
Terkini