comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya lonjak ke-130 dunia, terbaik dalam tempoh 17 tahun

Harimau Malaya kini pasukan ke-130 dunia.- Foto: FAM/ Facebook

PETALING JAYA: Selepas jatuh tiga anak tangga ke kedudukan ke-137 dunia Oktober lalu, ranking terbaharu yang dikemaskini Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini menyaksikan skuad bola sepak kebangsaan mendaki tujuh anak tangga untuk berada di kedudukan ke-130 dunia.

Kedudukan terbaru itu adalah yang terbaik dicapai Harimau Malaya dalam tempoh 17 tahun selepas menduduki ranking ke-124 dunia pada 2006.

Kenaikan ranking itu disumbangkan oleh kejayaan skuad kendalian Kim Pan Gon yang merekodkan kemenangan dalam dua aksi awal Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan lalu.menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0.

Menerusi semakan di laman sesawang FIFA, ranking terbaik negara adalah 75 yang dilakar pada 1993 sementara kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 120 terbaik dunia adalah pada 2004 (120).

Apa yang menarik Harimau Malaya satu-satunya pasukan dalam Kumpulan D yang berjaya membaiki ranking berbanding tiga lagi pencabar, Oman, Kyrgyzstan dan Taiwan.

Oman daripada kedudukan ke-72 jatuh tiga anak tangga ke-75,  Kyrgyzstan (97 ke 98) manakala Taiwan rankingnya jatuh ke-154 daripada 152.

Tugasan besar Harimau Malaya yang seterusnya adalah pusingan akhir Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar pada 12  Januari hingga 10  Februari tahun hadapan.

Skuad Pan Gon diundi dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia yang juga juara dua kali, Korea Selatan selain Bahrain dan Jordan.

Loading...
Terkini