comscore
Tumpuan :
Sukan

KBS akan terus `pujuk’ Kementerian Kewangan

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan berputus asa untuk terus ‘memujuk’ Kementerian Kewangan bagi mendapatkan insentif cukai yang lebih menarik kepada pihak korporat yang ingin menaja penganjuran sukan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadual berlangsung pada 24 Februari ini.

Beliau berharap perbincangan itu nanti dapat membuahkan hasil yang positif dan seterusnya membolehkan industri sukan berkembang dengan lebih maju.

“Kita haraplah (ada pengkhabaran baik dalam Bajet 2023). Namun kita kena bincang lebih lanjut dengan Kementerian Kewangan dan sampaikan hasrat kita. Sebenarnya KBS maklumkan, setiap tahun apabila Bajet, mereka akan cuba minta daripada Kementerian Kewangan untuk cukai yang lebih menarik bagi penaja korporat.

“Untuk sukan, selalunya, kita tak boleh caj mahal, ia isu gaya hidup. Kita nak kanak-kanak, belia… jadi pendekatan terhadap sukan mesti berubah dan kita kena bermula dengan kerajaan dulu. Bagaimana kita melihat sukan ini.

“Jadi banyak yang katakan, sekarang ini semua SOP (Prosedur Operasi Standard) bersifat seperti menghukum mereka bukan untuk mempromosikan sukan. Jadi kita nak lihat semula, untuk membantu mereka dan kita perlu bekerjasama dengan semua kementerian terbabit,” katanya selepas sesi `townhall’ bersama industri sukan di Menara KBS, di sini, hari ini.

“Kali ini, saya nak bincang dengan Kementerian Kewangan kerana apabila bajet kita semakin berkurangan dan kita tak bagi insentif yang membebaskan penganjuran untuk dapatkan penaja sendiri dan tak ada galakan, industri sukan akan mati kalau tak buat sesuatu yang kritikal.

“Jadi, KBS akan bincang dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat sebelum pembentangan Bajet (2023)… kita nak cuba lagi.”

Sesi townhall hari ini menerima sambutan menggalakkan daripada pemain industri dengan 297 penyertaan – melebihi sasaran awal diletakkan iaitu 200 peserta.

Selain isu insentif cukai, KBS turut menerima beberapa isu lain antaranya kesukaran pihak penganjur untuk mendapatkan permit yang perlu melalui pelbagai agensi, skim insurans lebih murah buat sesetengah sukan, hubungan khas bersama KBS dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan yuran lesen membabitkan pengusaha gimnasium.

Loading...
Terkini