comscore
Tumpuan :
Sukan

LTdL 2022 : Cleb Syritsa Ungguli Peringkat Pertama Perlumbaan

FOTO : Le Tour de Langkawi / Facebook

KUALA LUMPUR : Pelumba Astana Qazaqstan, Cleb Syritsa gah mengungguli peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi 2022.

Peringkat pertama yang bermula di Kuala Pilah, Negeri Sembilan menuju ke pusat bandaraya Kuala Lumpur sejauh 157.3km ini pastinya menjadi tumpuan seluruh peminat sukan lumba basikal menerusi penampilan 6 pasukan bertaraf World Tour.

Menawarkan masing-masing tiga zon pecutan dan lima zon bukit, persaingan bermula sebaik melepasi zon neutral dengan 9 pelumba berjaya membentuk kumpulan pendahulu.

FOTO : Le Tour de Langkawi / Facebook

Dua pelumba Terengganu Polygon, TSG, Jambaljambt Sainbayar dan Nur Aiman Mohd Zharif antara yang berada dalam kumpulan pendahulu menyaksikan mereka saling mengutip mata di kedua-dua zon pecut dan bukit.

Hujan lebat turut menghiasi perlumbaan hari ini dengan kumpulan breakaway akhirnya berjaya ditangkap peloton besar berbaki 13km terakhir.

Dan henjutan beramai-ramai menuju penamat di hadapan akhirnya menyaksikan pelumba Astana Qazaqstan, Cleb Syritsa gah paling awal melepasi garisan untuk bergelar pemenang.

“Saya sangat gembira kerana ini merupakan kemenangan pertama saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, staf dan keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, pasukan TSG turut ceria dengan kejayaan Sainbayar menyarung jersi merah raja bukit pada hari pertama selepas dia mengumpul 15 mata.

Dan penguasaan TSG bagi jersi merah turut dijamin seorang lagi pelumba, Aiman yang mengumpul 11 mata di tempat kedua.

“Tadi kesilapan saya juga untuk hari ni, tetapi tidak mengapa, masih ada peringkat kedua dan ketiga yang turut menawarkan banyak zon pendakian, saya akan cuba lagi, yang menang pun rakan sepasukan saya, saya akan bantu dia, mungkin dia lebih berpotensi untuk dapatkan jersi itu,” kata Aiman selepas perlumbaan.

Peringkat kedua esok menawarkan laluan sejauh 178.9km, bermula di Kuala Klawang, Negeri Sembilan menuju ke Raub, Pahang.

 

Loading...
Terkini