comscore
Tumpuan :
Sukan

LTDL 2023: De Kleijn ungguli penamat di Kuala Terengganu, Aiman sarung jersi Raja Bukit

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

KUALA TERENGGANU: Pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn gah mengungguli peringkat pertama perlumbaan Le Tour De Langkawi 2023.

Perlumbaan yang bermula di Kerteh menuju ke Kuala Terengganu sejauh 187.4km turut menawarkan tiga zon pecut di Dungun, Ajil dan Tok Jamal selain dua zon bukit di Jerangau dan Sekayu.

Bermula dengan gerakan beramai-ramai selepas zon neutral, empat pelumba, Tegshbayar Batsaikhan, Muhd Nur Aiman Zariff, Zawawi Azman dan Sarawut Sirironnachai berjaya membentuk kumpulan pendahulu di kilometer ke 36.

Penguasaan yang ditampilkan menyaksikan Aiman ceria mengutip mata penuh di zon bukit Jerangau sebelum menduduki tangga kedua di zon bukit Sekayu.

Sementara Batsaikhan bertindak membuat gerakan solo sepanjang perlumbaan sebelum dia di tangkap ketipa perlumbaan berbaki 20km terakhir.

Ia sekaligus memberi petanda, henjutan beramai-ramai menuju ke garisan penamat dan pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn bijak meloloskan diri untuk bergelar pemenang peringkat pertama.

Tempat kedua menjadi milik Sasha Weemaes dari pasukan Human Powered Health, manakala pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa ketiga.

Pelumba kebangsaan, Muhd Izzat Hilmi Abdul Halil turut beraksi cemerlang apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Dalam pada ity, di sebalik kejayaan De Kleijn mengungguli peringkat pertama perlumbaan, dia turut ceria meraih jersi oren selaku raja pecut selepas mengumpul 15 mata.

Namun, paling sensasi sudah tentulah jersi hijau pendahulu keseluruhan selepas merakam catatan 4 jam, 25 minit dan 38 saat.

Jersi terbaik asia pula dimenangi Batsaikhan, bagaimanapun, paling menjadi tumpuan, penyerahan jersi polka dot raja bukit dengan Nur Aiman diumumkan sebagai pemegang jersi berkenaan.

Dia mengumpul 3 mata, mengatasi Batsaikhan di tangga kedua dengan 2 mata.

Peringkat kedua perlumbaan esok akan bermula di ‘Drawbrige’ Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu, Kelantan sejauh 186.2km.

Loading...
Terkini