comscore
Tumpuan :
Sukan

Mbappe, Messi calon anugerah Terbaik FIFA

FOTO: REUTERS

PARIS: Selepas aksi cemerlang di Piala Dunia 2022, Lionel Messi dan Kylian Mbappe membarisi senarai calon anugerah Terbaik FIFA untuk tahun lalu.

Messi, yang pernah memenangi anugerah itu sebelum ini, mengetuai Argentina untuk kejuaraan di Qatar, kemenangan yang mampu memberikannya gelaran Ballon d’Or buat kali kelapan dan juga untuk anugerah FIFA itu.

Pesaing utamanya ialah Mbappe, yang meledak hatrik ketika final Piala Dunia, dan dua lagi pemain Paris Saint-Germain yang dicalonkan adalah Neymar dan serta bintang Maghribi, Achraf Hakimi.

Karim Benzema, yang memenangi Ballon d’Or tahun lalu selepas aksi cemerlangnya bersama Real Madrid, turut dicalonkan, termasuk Robert Lewandowski, pemenang anugerah FIFA sepanjang dua tahun lalu.

Senarai calon turut dibarisi pemain Manchester City – Julian Alvarez, Kevin De Bruyne dan Erling Haaland; gandingan Real Madrid, Luka Modric dan Vinicius Junior; Mohamed Salah, Sadio Mane serta Jude Bellingham.

Alexia Putellas dicalonkan untuk anugerah wanita walaupun tidak beraksi sepanjang enam bulan lalu akibat kecederaan.

Pemain tengah Barcelona dan Sepanyol itu memenangi anugerah berkenaan tahun lalu dan mengekalkan gelaran Ballon d’Or pada Oktober.

Penyerang Arsenal, Beth Mead, yang tewas kepada Putellas untuk anugerah Ballon d’Or, turut dicalonkan termasuk rakan sepasukan England yang memenangi Kejuaraan Eropah di laman sendiri, Leah Williamson serta Keira Walsh.

FIFA turut menawarkan kategori jurulatih lelaki dan wanita terbaik, penjaga gol terbaik, Anugerah Puskas dan gol terbaik tahun 2022.

Undian oleh peminat dibuka sehingga 3 Februari bagi menentukan tiga finalis bagi setiap kategori.

Pemenang kemudian akan ditentukan oleh juri yang terdiri daripada pengendali dan kapten skuad kebangsaan, wartawan serta peminat bola sepak. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini