comscore
Tumpuan :
Sukan

Oman bersedia beraksi di padang yang kurang memuaskan

Jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy. – FOTO: Ihsan FAM

KELANA JAYA: Jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy sudah mendapat maklumat awal status padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kurang memuaskan.

Beliau mengetahui venue terbabit sebenarnya tidak bersedia untuk perlawanan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Malaysia, malam esok.

Namun jurulatih dari Republik Czech itu akur situasi terbabit tidak dapat dielakkan, sekali gus mengharapkan kejayaan memihak kepada pasukannya walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan padang kurang memuaskan.

“Kami mengetahui cuaca di Malaysia sering hujan lebat, berikutan itu, kami mendapat maklumat keadaan padang tidak bersedia untuk perlawanan esok.

“Pada masa sama, kami dimaklumkan tidak boleh berlatih di padang terbabit dan situasi sama turut membabitkan pasukan Malaysia,” katanya pada sidang media praperlawanan antara Malaysia menentang Oman di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Keadaan padang SNBJ mula menjadi buah mulut penyokong bola sepak tempatan ketika ini. Ia susulan tersebarnya video di laman YouTube yang dipercayai diambil pada Sabtu lalu membabitkan perkembangan terkini padang venue itu.

Pemilik akaun YouTube itu menerbangkan dron untuk meninjau perkembangan terkini venue berkenaan selepas video dia memaparkan keadaan padang SNBJ beberapa hari lalu sebelum itu tular di media sosial.

Sementara itu, jurulatih berusia 62 tahun mengakui skuad Harimau Malaya akan bermain habis-habisan di hadapan penyokong sendiri dalam usaha memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

“Sudah pastinya Malaysia bakal tampil dengan corak permainan berbeza berbanding di Muscat apabila mereka mahu meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

“Kami pasti boleh memenangi perlawanan esok, tidak kira walau apa jua berlaku,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini