comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022: Kekalahan kepada Arab Saudi jadi pengajaran, Argentina sedia tentang Australia habis-habisan

Scaloni ketika mengendalikan sesi latihan pasukan Argentina. – FOTO: REUTERS

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

AL-RAYYAN: Kekalahan Argentina pada aksi pembukaan kempen Piala Dunia 2022 benar-benar mencalar kredibiliti skuad kendalian Lionel Scaloni.

Namun, ia pengajaran yang amat bermakna buat pasukan, lebih-lebih lagi memasuki saingan peringkat kalah mati ini di mana tidak boleh berlaku kesilapan kerana ia akan menyebabkan pasukan tersingkir.

“Anda seorang warga Australia, anda pun terkejut Argentina tewas kepada Arab Saudi, tidakkah anda terkejut Australia berjaya tundukkan Denmark? Saya tidak terkejut kerana bagi saya mereka pasukan yang bagus.

“Australia melakukan tugas dengan baik pada aksi kelayakan, dan untuk mara ke saingan utama, perlu menempuhi aksi playoff antara benua.

“Bagi saya Australia pasukan yang hebat, sering layak ke Piala Dunia, bermakna mereka juga pasukan yang sukar, di sini, kita tidak boleh mempercayai apa saja, kita perlu bermain, bermain bola sepak dan lakukan tugas dengan baik,” kata Scaloni.

Dalam pada itu, semangat sama turut dikongsikan pemain tengah Argentina, Rodrigo De Paul.

Kekalahan yang dialami pada perlawanan pembukaan membawa pasukan ke satu tahap berbeza, ia secara tidak langsung mengaktifkan keinginan tinggi untuk menang, dan ia berlaku dalam pasukan Argentina.

“Semua telah melihat kempen Piala Dunia kali ini amat mencabar, pasukan-pasukan besar seperti Jerman dan Belgium, mereka telah tersingkir, Sepanyol pula berdepan aksi sukar semalam.

“Untuk bermula dengan kekalahan, namun menamat aksi kumpulan di kedudukan teratas, ada sebab untuk kami berbangga, sekurang-kurangnya untuk diri kami, bukan hanya terhadap keputusan yang telah dicapai, tetapi juga bagaimana kami menangani situasi sukar ini.

“Sudah tentu kami telah menempuhi detik cukup sukar, tetapi berdasarkan perkembangan sehingga hari ini, ia adalah satu detik yang cukup positif tewas kepada Arab Saudi,” kata Rodrigo.

Dari 7 pertemuan menentang Australia sebelum ini, Argentina masih gah dengan lima kemenangan selain satu keputusan seri.

Dan kekalahan yang dialami Argentina hanya berlaku 24 tahun lalu iaitu pada 1988.

Loading...
Terkini