comscore
Tumpuan :
Sukan

Sadio Mane terus menjadi tumpuan, kali ini berbalah dengan wartawan

Sadio Mane (kanan) bersama rakan sepasukannya ketika sesi memperkenalkan pemain Bayern Munich bagi musim 2023-24 di Arena Allianz, Munich semalam. – Foto: REUTERS

MUNICH: “Anda mengkritik saya setiap hari dan kini anda mahukan saya bercakap dengan kalian,” ujar Sadio Mane kepada wartawan yang bertanyakan tentang spekulasi mengenai masa depannya di Bayern Munich.

Mane didakwa berang dengan wartawan tersebut yang ingin mendapat berita terkini berhubung desas-desus pemain itu dikaitkan akan berpindah ke Arab Saudi.

Pemain sayap yang kurang diperlukan itu dilapor berunding untuk menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr yang akan menyaksikannya bergandingan dengan Cristiano Ronaldo.

Mane mengharungi musim mengecewakan di Jerman susulan perpindahan bernilai £35 juta (RM206 juta) dari Liverpool pada musim panas lalu dan dipercayai tidak berada dalam perancangan bos baharu Thomas Tuchel.

Rakaman video Mane tular ketika dia didekati oleh seorang wartawan yang mahu bertanyakan soalan kepadanya.

Mane enggan melayan wartawan itu dengan penyerang itu dilihat merujuk kepada beberapa tajuk negatif mengenainya dalam media Jerman ketika beraksi di Bayern.

Mane menjadi tumpuan dan sering dikritik persembahannya sepanjang musim sulung yang sukar bersama juara Bundesliga itu.

Bekas pemain Liverpool itu, yang baru-baru ini diundi sebagai pemain paling dibenci dalam Bundesliga musim lalu, mencuri tumpuan apabila bergaduh dengan rakan sepasukannya Leroy Sane pada April lalu.

Mane menumbuk muka Sane selepas kalah 3-0 di tangan Manchester City di Etihad tiga bulan lalu.

Dia kemudian didenda £250,000 (RM1.47 juta) oleh kelab itu – terbesar dalam sejarah mereka – dan dikenakan penggantungan satu perlawanan.

Bayern dilapor mahukan £17 juta (RM100 juta) dengan menjual penyerang itu, yang menjaringkan 12 gol dalam 38 perlawanan musim lalu. – AGENSI

Loading...
Terkini