comscore
Tumpuan :
Sukan

Semangat baru buat kami – Haikal

Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menjuarai  Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2023 selepas mengejutkan pilihan pertama dari Jepun, Akira Koga-Taichi Saito  18-21,  21-18, 21-16. – FOTO: BAM/ Facebook

PETALING JAYA: Kejayaan gandingan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menjuarai Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2023 di Lucknow, India semalam membuktikan Malaysia tidak ketandusan barisan beregu sekiranya mendapat pendedahan sewajarnya.

Kejayaan itu bagi Muhammad Haikal, menjadi pembakar semangat buat mereka yang baru tiga bulan digandingkan dan berharap dapat mengekalkan konsistensi dalam usaha memburu lebih banyak pencapaian membanggakan pada masa depan.

“Saya harap dapat konsisten dengan pasangan…biasanya kalau main dengan dia sebelum ini selalu tersingkir awal.

“Ini (Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2023) permulaan bagi saya dan Hon Jian, harap masa akan datang bermain dengan lebih baik lagi untuk dapat banyak lagi gelaran, insya-Allah,” katanya dalam rakaman video dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Pada perlawanan akhir semalam, Hon Jian-Muhammad Haikal yang diletakkan sebagai bukan pilihan bangkit dari kekalahan 18-21 pada set pertama, mengejutkan pilihan utama dari Jepun Akira Koga-Taichi Saito apabila menang dua set berikutnya  21-18, 21-16.

Kongsi Muhammad Haikal, keyakinan yang kembali selepas tewas set pertama, menjadi menjadi kunci utama yang membawa mereka mengecap kejayaan semalam.

Apapun tumpuan terhadap Muhammad Haikal dan Hon Jian pada kejohanan di India itu bermula pada pusingan kedua apabila mengejutkan juara Eropah dari Jerman, juga pilihan ke-4, Mark Lamsfuss – Marvin Seidel 11-21, 25-23, 21-10.

Pasangan negara meneruskan momentum kemenangan apabila menyingkirkan pula pilihan kedua dari England, Ben Lane – Sean Vendy 21-12, 21-19 pada separuh akhir.

Loading...
Terkini