comscore
Tumpuan :
Sukan

Senarai 22 pasukan sertai LTDL 2023 lengkap

Oleh : Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT JALIL : Senarai kesemua 22 pasukan yang akan beraksi dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL 2023) sudah pun lengkap ketika saingan kini hanya berbaki sebulan sahaja lagi.

Bagaimanapun, menerusi senarai yang diumumkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, hanya dua pasukan berstatus ‘World Tour’ akan mengambil bahagian pada saingan kali ini.

Dan walaupun ia tidak menepati syarat yang telah ditetapkan badan induk berbasikal dunia, UCI iaitu tiga pasukan ‘World Tour’ dan 7 pasukan ‘Pro Tour’, senarai yang diumumkan iaitu 2 pasukan ‘World Tour’ dan 8 pasukan ‘Pro Tour’ tetap diterima UCI.

“UCI akan pertimbangkan kita punya status selepas tiga siri perlumbaan, maknanya kita sekarang telah diberi kebenaran untuk menganjurkan LTdL selama 2023, 2024 dan 2025 secara keseluruhan, kita akan cuba dapatkan lebih banyak pasukan ‘World Tour’ pada tahun hadapan”, kata Datuk Ahmad Shapawi.

Dua pasukan ‘World Tour’ yang akan beraksi pada perlumbaan LTdL kali ini adalah pasukan Astana Qazaqstan dan juga pasukan EF Education-Easypost.

Senarai itu dilengkapkan dengan barisan 8 pasukan berstatus ‘Pro Tour’ iaitu Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma, Euskaltel-Euskadi, Green Project-Bardiabi CSF, Corratec-Selle Italia, Human Powered Health, Tudor Pro Cycling Team fan Bolton Equites Black Spoke.

Manakala Terengganu Polygon Cycling Team mengetuai senarai pasukan ‘Continental’ selain Nusantara Cycling Team, Hengxiang Cycling Team, Li Ning Star, Giant Cycling Team, St. George Continental Cycling Team, KSPO Professional, JCL Team UKYO dan Roojai Online Insurance.

Dan pasukan kebangsaan Malaysia dan Thailand melengkapkan senarai 22 pasukan yang akan bersaing pada perlumbaan LTdL 2023 yang dinadualkan berlangsung pada 23 hingga 30 September depan.

Dalam pada itu, penganjuran kali ini berjaya menarik penajaan yang menyaksikan bajet yang menjadi sasaran sudah dicapai.

“Kalau kata saya dah perlumbaan ini ada masa dulu kita pernah buat dengan RM25 juta pun ada zaman dulu, ada masa, kita faham tetapi kategori ‘ProSeries’ yang selesalah, macam Datuk Ahmad Shapawi kata, tidak boleh lebih daripada RM20 jutalah, tetapi kita mungkin ambil tengah-tengah, maksud dia dalam RM15 juta ke RM16 juta itu mungkin bajet yang selesalah, jadi saya boleh katakan kita dah capai.

“Kita akan membuat pembayaran awal, seawal mungkin, tiket kapal terbang pun kita buat sendiri, kita akan tepati semua janji dengan pasukan, sebenarnya untuk menarik pasukan untuk penganjuran tahun depan, bila kita dah buat pembayaran awal, tiket dah bayar, pasukan datang untuk berlumba saja”, kata Emir Abdul Jalal, Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023.

Perlumbaan edisi kali ini akan memulakan kayuhan dari Kerteh ke Kuala Terengganu (184.4km), diikuti dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2km), peringkat ketiga, Jeli ke Baling (177.1km), peringkat keempat, Bukit Mertajam ke Meru Raya (140km), peringkat kelima, Slim River ke Genting Highlands (133.3km), peringkat keenam dari Karak ke Melaka (176.6km), peringkat ketujuh, Muar ke Seremban (125.7km) dan Setia Alam ke Kuala Lumpur (157km) mengakhir 8 peringkat perlumbaan.

Loading...
Terkini