comscore
Tumpuan :
Sukan

Siti Nurul Masyitah perlu jalani pembedahan susulan – Hannah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika ditemui pada Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka hari ini. – FOTO: NSTP

BANDA HILIR: Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias yang mengalami kecederaan parah akibat kemalangan di Johor Bahru pada 11 Mei lalu masih perlu menjalani beberapa pembedahan lagi, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurut Hannah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengadakan lawatan terhadap atlet terbabit yang juga pelajar Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang, Johor.

Katanya, dalam lawatan itu pihaknya dimaklumkan Siti Nurul Masyitah sudah menjalani tiga pembedahan.

“Pihak KBS bersama-sama MSN akan terus memantau dan memberikan bantuan buat Siti Nurul Masyitah. Tumpuan kita adalah untuk memastikan dia kembali sembuh selain KBS turut menunggu laporan penuh daripada doktor untuk tindakan selepas ini,” katanya.

Hannah berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid.

Menurut Hannah, KBS memandang serius kebajikan semua atletnya termasuk mereka yang sedang menjalani proses pemulihan.

Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias mengalami kecederaan parah selepas dirempuh pemandu mabuk 11 Mei lalu.

“Siti Nurul Masyitah masih perlu menjalani pembedahan dan sudah pasti memerlukan masa (untuk kembali sembuh). Apabila atlet kita dicederakan tidak kira siapa termasuk Faisal Halim (pemain bola sepak kebangsaan) mereka memerlukan masa jadi kita tidak boleh tergesa-gesa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, akibat kecederaan dialaminya, Siti Nurul Masyitah mungkin terlepas peluang untuk beraksi pada Kejohanan Perahu Panjang Persekutuan Lumba Kanu Antarabangsa (ICF) 2024 yang dijadualkan di Palawan, Filipina pada 30 Oktober hingga 3 November depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini