comscore
Tumpuan :
Politik

‘Deklarasi Gombak’ fokus pembangunan ekonomi setempat

Calon PH Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari, melancarkan ‘Deklarasi Gombak, 5 Tekad untuk 5 Tahun’ di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, Batu Caves.

GOMBAK: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini melancarkan Deklarasi Gombak ‘Lima Tekad untuk Lima Tahun’ yang antara lain memberi tumpuan terhadap pembangunan ekonomi dan kesejahteraan setempat.

Deklarasi itu merangkumi lima teras utama iaitu:

ekonomi tempatan nadi Gombak
rumah mampu milik
infrastruktur mampan, selesa dan berdaya tahan
pendidikan dan pekerjaan bermaruah
peranan saksama negeri memajukan negara.

Menyedari kepentingan rakyat memiliki kediaman sendiri, Amirudin yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Gombak, komited meletak sasaran untuk memastikan perkara itu dapat direalisasikan.

“Saya akan mendukung aspirasi rakyat ke arah itu dengan memastikan 1,660 unit rumah kategori berkenaan milik Pangsapuri Bayu Residensi @ Seri Temenggung disediakan dan dilengkapi dengan infrastruktur serta fasiliti sewajarnya.

“Saya juga akan mengusahakan penyelesaian pemilikan strata bagi penduduk Gombak khususnya di Hulu Klang, terutama di kawasan AU1, AU2 dan berhampiran,” katanya pada sidang media di bilik gerakan PH di sini, hari ini.

Amirudin juga akan memperluaskan potensi ekonomi Gombak dengan menarik kedatangan pelabur tempatan dan antarabangsa dengan menawarkan peluang pekerjaan berkualiti bagi memberi peluang anak muda di Gombak mendapat gaji yang tinggi.

Katanya, kedudukan Gombak sebagai hab pendidikan Selangor akan dimanfaatkan dengan merencana program latihan kemahiran teknikal.

“Ini boleh dibuat dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan agensi Kerajaan Persekutuan, sekali gus membimbing anak muda di Gombak untuk bersaing dalam pasaran ekonomi negara,” katanya.

Amirudin berkata, perancangan turut dibuat bagi menjadikan Gombak sebagai hab makanan bandar di Lembah Klang menerusi kegiatan pertanian dalam bandar.

Beliau yang berhasrat mengaktifkan pertanian dalam bandar di beberapa kawasan di daerah ini bagi menampung keperluan asas, selain menjamin keselamatan makanan.

“Gombak mempunyai beberapa kawasan hijau terutama di Ulu Yam dan sekitar Jalan Gombak.

“Kita akan membuat penilaian terhadap potensi di lokaliti berkenaan untuk dimajukan sebagai kawasan pertanian bandar yang moden, selamat dan berkualiti.

“Ia sekali gus dapat dijadikan hab makanan bandar di kawasan Lembah Klang,” katanya

Menerusi segmen ekonomi tempatan, Amirudin bertekad memperkasa golongan wanita sebagai tulang belakang ekonomi dengan latihan kemahiran tambahan.

Beliau berkata, ia bagi mendorong mereka aktif dalam kegiatan ekonomi dan meningkatkan pendapatan isi rumah.

Katanya, tumpuan juga akan diberi terhadap aspek membangunkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bagi kegunaan e-hailing secara usaha sama awam, swasta dan komuniti.

“Menerusi pendekatan itu, kita mahu R&R dilengkapi kemudahan istirahat, WiFi, kawasan mengecas gajet, bilik mandi dan ruang solat dalam menjamin kesejahteraan penunggang e-hailing.

“Kita juga akan memberi 10,000 unit komputer riba dan tablet bagi tujuan pendidikan kepada anak muda dan warga Gombak, yang mana 2,000 unit diberi setiap tahun untuk tempoh lima tahun,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini