comscore
Tumpuan :
Jenayah

Imigresen serbu kontena PATI dalam ladang sawit 

Seramai 195 pendatang asing tanpa izin ditahan selepas kontena didiami mereka dalam ladang kelapa sawit diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, semalam. – foto ihsan Imigresen Johor

ISKANDAR PUTERI : Jabatan Imigresen (JIM) Johor, menahan seramai 195 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan ke atas kontena yang dijadikan tempat tinggal mereka di Gelang Patah, di sini, semalam.

Kesemua PATI terbabit tinggal di dalam lebih 15 kontena di bekas tapak pembinaan yang dikelilingi ladang sawit dan jauh dari laluan utama.

Terdapat banyak lorong-lorong tersembunyi yang memudahkan mereka meloloskan diri.

Seorang PATI menyorok di atas bumbung kontena untuk mengelak daripada dicekup dalam serbuan semalam – Foto ihsan Imigresen Johor

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata,  Op Sapu itu dijalankan secara berasingan di dua lokasi penempatan haram di Gelang Patah selepas menerima aduan berhubung kewujudan warga asing yang disyaki tidak memiliki pas dan dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata, dalam operasi bermula kira-kira jam 12 tengah malam hingga 6 pagi itu, seramai 641 warga asing dan tempatan diperiksa sebelum 195 daripada mereka yang berusia antara 19 hingga 69 tahun, ditahan.

“Dalam operasi ini, kita turut membuat pemeriksaan terhadap pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).

“Hasil pemeriksaan di dua lokasi serbuan, kita berjaya menahan 62 lelaki warga Myanmar, 55 lelaki Bangladesh, 28 lelaki India, 26 lelaki Indonesia, lima wanita Indonesia, 16 lelaki Pakistan, dua lelaki China dan seorang lelaki Timor Leste.

“Semua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Baharuddin berkata, semua PATI dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, beliau menyeru kepada majikan dan semua PATI yang berkelayakan untuk mengambil peluang menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang berakhir pada Disember ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini