comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes curi cip kasino RM4.6 juta, bekas pekerja disyaki dalang

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Bekas pekerja pusat perjudian disyaki menjadi dalang utama kes kecurian cip kasino di Genting Highlands bernilai lebih RM4.6 juta.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata suspek berusia 44 tahun masih bebas dan usaha menjejaki lelaki terbabit giat dilakukan.

Menurutnya, hingga kini 10 suspek berusia antara 30 dan 59  tahun ditahan dan usaha mengesan lima lagi suspek termasuk salah seorang dalang kes itu sedang dilakukan.

Katanya, berdasarkan siasatan cip kasino terbabit hilang di sebuah bilik di pusat perjudian di Genting Highlands pada 7 pagi 28 Oktober lalu.

“Cip kasino itu hilang selepas pengurusan keselamatan mengesan sebuah bilik kasino khas dipecah masuk dan 1,160 cip kasino bernilai RM 4,607,800 dalam bilik berkenaan hilang,”

“Setelah semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, dua lelaki memasuki ke dalam bangunan menempatkan beberapa bilik kasino khas melalui laluan kecemasan dan seterusnya mengumpil pintu belakang bilik kasino,”

“Bertindak atas maklumat, beberapa serbuan dilakukan dan 10 suspek termasuk seorang lelaki warganegara China ditahan di Genting Highlands, Raub dan Ampang, Kuala Lumpur termasuk seorang bekas pekerja pusat perjudian terbabit juga disyaki salah seorang dalang kes terbabit.” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Yahaya, hasil tangkapan itu 428 cip kasino bernilai RM2,997,000 dan wang tunai  RM16,438 dirampas.

Katanya, siasatan mendapati 279 cip kasino sudah ditunai di pusat perjudian di Genting Highlands dan baki 732 cip kasino sedang dikesan.

“Polis sudah mengenalpasti semua lima suspek masih bebas dan usaha menjejaki mereka sedang dilakukan,”

“Semua mereka termasuk beberapa pekerja ladang durian dan bekerja sendiri disyaki pengunjung tetap pusat perjudian di Genting Highlands,”

“Berdasarkan rekod polis kes kecurian cip kasino di pusat perjudian itu kali pertama dilaporkan tetapi siasatan lanjut masih dilakukan.” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 14 tahun.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini