comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Tidak peduli larangan, penduduk kembali ke rumah di utara Gaza

FOTO: Reuters

Gaza: Ramai rakyat Palestin mengambil kesempatan gencatan senjata selama empat hari bermula Jumaat  untuk pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, mereka tetap mengambil langkah berhati-hati ketika keluar dari pusat perlindungan sementara.

Di bandar selatan Khan Younis, beratus-ratus orang sedang menuju ke utara walaupun kawasan terbabit masih zon perang berbahaya.

FOTO: Reuters

Lelaki, wanita dan kanak-kanak membawa barang-barang mereka di dalam beg plastik, beg beli-belah dan beg galas.

FOTO: Reuters

Kelihatan juga sekeluarga duduk di belakang kenderaan yang ditimbun tinggi dengan beg dan ditarik oleh seekor keldai.

Beberapa orang turut mendongak ke langit kerana bimbang serangan daripada pesawat perang Israel.

“Saya kini sangat gembira, saya rasa tenang. Saya akan pulang ke rumah saya, hati kami tenang, lebih-lebih lagi ada gencatan senjata rasmi empat hari, lebih baik daripada kembali tinggal di khemah.

FOTO: Reuters

“Saya sangat letih kerana duduk di khemah tanpa makanan atau air. Di sana (rumah sendiri) kita boleh hidup, kita minum teh, membuat roti dengan api dan ketuhar,” kata Ahmad Wael sambil berjalan dengan tilam besar di kepalanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kira-kira dua pertiga daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, termasuk sebahagian besar penduduk Bandar Gaza.

Seluruh bahagian utara kawasan itu menjadi tanah terbiar akibat serangan Israel.

Khan Younis, bandar utama di selatan, juga tidak terbukti selamat.

Banyak bangunannya kini menjadi runtuhan, musnah akibat serangan Israel.

“Sejujurnya, ia adalah perasaan yang baik untuk seseorang dapat pulang ke rumah selepas sekian lama, untuk melihat keluarga dan orang tersayang mereka, tetapi kami masih ragu-ragu dan takut.

FOTO: Reuters

“Gencatan senjata empat hari tidak mencukupi, mereka (di utara) Gaza, semoga Allah memberi mereka kesabaran. Kami bimbang mengenai mereka,” kata seorang penduduk Khan Younis, Souad Abou Nasirat.

Alaa Al Moubachar, duduk di luar pusat perubatan Khan Younis bersama anak-anaknya pula berkata, kawasan kejiranan tempat dia tinggal di Bandar Gaza di utara Gaza, musnah.

“Kami keluar tanpa membawa apa-apa, kami hanya mengambil beberapa pakaian musim panas. Kemudian, kami (ditempatkan) di sekolah, ia sejuk, berangin dan hujan dan kami tidak mempunyai apa-apa barang musim sejuk atau apa-apa.

“Kami keletihan mental. Kami beratur untuk ke bilik air, kami beratur untuk kedai roti. Hidup kami menjadi sangat sukar,” katanya. – REUTERS

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini