comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Tun Daim tiba di mahkamah berkerusi roda

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin didakwa di Mahkamah Sesyen, atas tuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta.

Tun Daim, 85 tahun yang berkerusi roda, memakai kot berwarna hitam, tiba 8.40 pagi.

Beliau kelihatan seperti tidak bermaya dan tidak bercakap apa-apa ketika dikerumuni pengamal media di lobi mahkamah.

Tun Daim, 85 tahun yang berkerusi roda, memakai kot berwarna hitam, tiba di Mahkamah Sesyen jam 8:40 pagi.

Sebelum itu, 8.30 pagi kelihatan beberapa pegawai pendakwaraya SPRM memasuki perkarangan mahkamah ini.

Petugas media lebih awal, sudah tiba seawal jam 7 pagi lagi.

Kes Tun Daim ini akan disebut di hadapan Hakim Azura Alwi.

Kelmarin, Tun Daim dalam kenyataannya memaklumkan SPRM sudah mengambil rakaman percakapannya.

SPRM turut memaklumkan kepadanya yang beliau akan didakwa hari ini atas kesalahan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009. Kesalahan berkaitan pendedahan aset.

Minggu lalu 24 Januari, SPRM mengesahkan sudah mendapat kebenaran untuk mendakwa Tun Daim, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin di mahkamah, namun ia terpaksa ditangguhkan atas masalah kesihatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan agensi antirasuah itu mendapat lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara sejak minggu sebelumnya.

Bagaimanapun SPRM tidak dapat berbuat demikian kerana Tun Daim yang berusia 85 tahun dimasukkan ke hospital swasta.

Beliau berkata, semakan pihaknya mendapati Tun Daim, yang menjawat jawatan Menteri Kewangan dari tahun 1984 hingga 1991 itu, telah dimasukkan ke hospital lebih awal sebelum pihaknya mendapat kelulusan untuk mendakwa beliau.

Malangnya mereka tidak dimaklumkan mengenai sebab bekas menteri kanan itu menerima rawatan di hospital.

Pada 23 Januari lalu, isteri Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 66 tahun turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sama atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk aset miliknya, Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sebelum ini, Toh Puan Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan terhadap Tun Daim yang juga seorang ahli perniagaan.

SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Tun Daim berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini