comscore
Tumpuan :
Nasional

[KEMAS KINI] [VIDEO] Isteri, anak Daim tiba di SPRM bantu siasatan

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Isteri Tun Daim Zainudin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid bersama dua anak lelaki mereka hari ini tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap bekas menteri kewangan itu.

Nai’mah, Muhammed Amin dan Muhammed Amir tiba di pekarangan ibu pejabat  SPRM pada jam 10.05 pagi, diringi  peguam, Rajesh Nagarajan serta Sachpreetraj Sohanpal.

Pada sidang media sebelum soal siasat itu, Nai’mah mengulangi pendirian suaminya yang mempertikaikan siasatan SPRM.

Beliau berkata Daim meraih kekayaan sebagai ahli perniagaan lama sebelum menyertai kerajaan pada 1984 dan mendakwa bekas menteri kewangan itu mangsa cubaan untuk menggambarkannya sebagai korup semata-mata.

“Walau apa pun, kami telah memberikan kerjasama kepada SPRM seperti yang dikehendaki undang-undang, walaupun kami tetap mempersoalkan motif siasatan,” katanya.

SPRM sebelum ini menegaskan siasatan terhadap Daim dibuat berlandaskan undang-undang dan beliau disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Jun lalu,  SPRM membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta melibatkan  Daim, dua ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan ahli keluarga mereka.

Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

Bulan lalu, SPRM turut menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini, yang dikatakan milik keluarga Daim.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini