comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahli keluarga Bella dinasihat hormati prosiding mahkamah – Polis

JOHOR BAHRU: Ahli keluarga Mila Sharmilah Samsusah atau Bella, dinasihatkan menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk provokasi mahupun andaian yang boleh mengganggu proses berkenaan.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata suspek kes itu, Mohammad Haikal Mahfuz, 25, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Batu Pahat pada 24 Januari lalu, dan pihak keluarga seharusnya membiarkan proses perundangan berjalan tanpa sebarang tindakan campur tangan.

“Biar mahkamah membuat keputusan. Sebagai orang awam, kita jangan mengadili sesiapa. Kita ada mahkamah yang mulia dengan perbicaraan akan berlangsung dan setiap yang terbabit akan diberi peluang membela diri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Misi Jelajah Ramadan MyFundAction di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan kakak Bella yang dilihat lantang memberi komen berhubung kes itu melalui Facebook.

Kumar berkata, polis juga akan meneliti hantaran dimuat naik oleh ahli keluarga Bella dalam media sosial, sebelum memberi ulasan lanjut.

Mohammad Haikal yang juga bekas posmen dan teman lelaki Bella, didakwa membunuh wanita berusia 32 tahun itu antara jam 11 malam 14 Disember hingga jam 5.30 pagi 15 Disember tahun lalu di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga, hingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar, dan juga di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah, Batu Pahat.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin, kerana kes itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini