comscore
Tumpuan :
Nasional

“Arwah macam sembunyikan sesuatu”

Allahyarham Azween Noor Alias. FOTO: Sumber ahli keluarga

Oleh: Aslina Abu Bakar

KAJANG: “Setiap kali video call, dia memang tidak pandang tepat pada kamera, dia macam cuba sembunyikan sesuatu, bila saya paksa nak tengok muka dia barulah dia berpaling, itupun pun tak sampai 10 saat,”

Itu adalah luahan, Noor Aziella Alias, 34, adik kepada Azween Noor Alias, 38, yang maut dipercayai didera suaminya di sebuah pangsapuri di Sungai Long, Kajang, Ahad lalu.

Artikel berkaitan : ‘Datuk’ dipercayai suspek utama kes pembunuhan isteri dikehendaki polis

Noor Aziella berkata, dia sudah lama tidak berjumpa dengan kakaknya namun mereka kerap berhubung melalui panggilan video.

Jelasnya, sejak arwah berpindah berdekatan dengan rumah ibu mereka, Zaitun Ismail, 70, arwah ada beberapa kali berjumpa, namun tidak kurang 10 minit.

“Selepas dia berkahwin tujuh tahun lalu, hubungan kami sekeluarga renggang, malah selepas anak sulongnya berusia sembilan bulan, saya langsung tidak dapat berjumpa mereka.

“Kalau kakak datang singgah kat rumah pun dia datang sorang-sorang naik motosikal, itupun sekejap sangat, sekadar dia datang nak tengok muka mak sahaja,” katanya sebak.

Artikel berkaitan : “Suami tidak benarkan arwah ke rumah ibu” – Adik mangsa

Menurutnya, mereka sekeluarga memang tidak tahu latar belakang suami walaupun mereka dah kenal antara satu sama lain selama 5 tahun sebelum berkahwin.

“Sejujurnya, perkahwinan arwah kakak tidak mendapat restu daripada keluarga belah suami.

“Baru-baru ini kami ada la selidik akaun Facebook suami kakak, Apa yang kami tahu suami dia berpangkat Datuk dan Doktor selain merupakan orang yang berpengaruh dalam sebuah badan bukan kerajaan.

“Tapi kami tidak tahu sejauh mana kesahihan pekerjaan dia itu,” ujarnya.

Katanya, arwah meninggalkan dua cahaya mata berusia enam dan tiga tahun yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Apa yang membuat saya terkilan, suami dia bukan sahaja meninggalkan jenazah kakak saya di hospital tapi turut meninggalkan anak buah saya begitu sahaja di rumah sebelum melarikan diri.

“Mujurlah polis menemui anak buah saya di rumah dan kalau boleh kami adik beradik nak ambil dan jaga mereka,” katanya.

Semalam, polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai Mohamed Imran Mohamed, 32, yang beralamat terakhir di Apartment Sutera Pines, Jalan Sutera Pines, Sungai Long, Kajang. Lelaki terbabit dipercayai suspek dalam kejadian mendera isterinya sehingga mati sebelum dihantar ke hospital.

Wanita terbabit dihantar suaminya ke pusat perubatan berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Selepas mendapat tahu isterinya disahkan sudah meninggal dunia, lelaki itu menghilangkan diri.

Loading...
Terkini