comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir Johor: Jumlah mangsa berkurangan kepada 440 orang

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan) menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Bersepadu di Kota Tinggi hari ini. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor semakin baik apabila jumlah mangsa banjir terus berkurangan.

Sehingga jam 8 malam ini, jumlah mangsa banjir di tiga daerah terjejas di Johor mencatatkan penurunan kepada 440 orang daripada 119 keluarga, berbanding 1,149 orang daripada 297 keluarga pada jam 4 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Kota Tinggi yang sebelum ini teruk terjejas mencatatkan penurunan jumlah mangsa yang ketara selepas lima pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu ditutup jam 7 petang tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Kota Tinggi kini hanya merekodkan jumlah mangsa banjir seramai 84 orang daripada 19 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.

“Di Mersing dan Kluang, jumlah mangsa banjir masih kekal iaitu masing-masing seramai 272 orang daripada 72 keluarga yang ditempatkan di dua PPS dan 84 orang daripada 28 keluarga di sebuah PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, hanya Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi terjejas akibat banjir dan hanya dibuka untuk kenderaan berat.

Jabatan Metrologi Malaysia (MET Malaysia) pula mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada sehingga esok di Segamat, Kluang, Mersing dan Johor Bahru.

Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan paras Sungai Kahang di Kluang sudah melepasi aras bahaya.

Manakala Sungai Muar di Segamat; Sungai Lenik dan Sungai Sembrong di Batu Pahat; Sungai Johor di Kulai; Sungai Skudai di Johor Bahru serta Sungai Sedili Besar di Kota Tinggi melepasi aras waspada manakala Sungai Jemaluang di Mersing melepasi aras amaran.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini