comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir Sarawak: Mangsa di PPS meningkat 441

FOTO: NSTP/Ihsan JPBN Sarawak

KUCHING: Jumlah penduduk yang dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak hari ini meningkat seramai 441 orang berbanding 362 pada petang semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 27 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Assyakirin, Bintulu.

PPS Balai Raya Kampung Assyakirin itu dibuka sejak jam 4 petang Khamis lalu bagi menempatkan mangsa ribut yang mengalami kerosakan rumah di Iris Garden dan Pine Court, Bintulu.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS iaitu satu di Tatau, Bintulu dan satu di Debak, Betong pula meningkat manakala satu lagi kekal.

Antara penduduk yang ditempatkan di PPS di Debak, Betong. – FOTO: NSTP/Ihsan JPBN Sarawak

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Muput yang dibuka sejak jam 4 petang Khamis lalu bagi menempatkan mangsa banjir di Rumah Panjang Steven, Tatau di Bintulu kini dihuni seramai 55 orang daripada 27 keluarga berbanding 52 orang semalam.

PPS Dewan Millenia Debak yang menempatkan mangsa banjir di Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu pula kekal dengan 141 orang mangsa banjir daripada 39 keluarga.

Sementara itu, penghuni PPS Dewan Perpaduan Debak yang turut menempatkan mangsa banjir di Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu pula meningkat seramai 218 orang daripada 70 keluarga berbanding 142 orang daripada 39 keluarga semalam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini